Skim Usahawan Bangkit.
Kerajaan Persekutuan akan menambah peruntukan geran Skim Usahawan Bangkit sebanyak RM200 juta bagi tahun hadapan dalam usaha membantu lebih ramai usahawan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata bantuan secara bersasar mampu memberikan manfaat besar kepada usahawan kecil walaupun nilai peruntukan bagi setiap penerima tidak terlalu tinggi.
Menurut beliau, bantuan berkenaan boleh digunakan untuk membeli peralatan asas perniagaan yang diperlukan bagi meningkatkan hasil jualan dan mengurangkan kerugian.
“Saya lihat umpamanya, walaupun peruntukan itu kecil tetapi ia memberi manfaat secara langsung dan sampai kepada usahawan,” katanya semasa merasmikan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.
Anwar berkata, terdapat usahawan yang hanya memerlukan bantuan antara RM1,800 hingga RM5,000 untuk mendapatkan peralatan penting bagi memastikan operasi perniagaan berjalan lebih lancar.
Sebagai contoh, katanya, pembelian peti sejuk kecil dengan kos yang berpatutan boleh membantu peniaga menyimpan barangan mudah rosak, sekali gus mengurangkan kerugian dan meningkatkan pendapatan bulanan.
“Kadang-kadang belanjanya RM5,000, RM3,000. Ada yang RM1,800, tetapi ia boleh memberi pulangan yang baik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau keperluan usahawan dan menyalurkan bantuan mengikut kemampuan bagi memastikan peruntukan yang disediakan memberikan kesan langsung kepada penerima.
“Hal-hal yang sedemikian kita pantau dan kita akan bantu sedaya mungkin,” katanya.
Penambahan geran itu dijangka membuka lebih banyak ruang kepada usahawan kecil untuk memperkukuh operasi perniagaan, meningkatkan produktiviti serta menambah pendapatan.
Skim Usahawan Bangkit turut memberi tumpuan kepada keperluan praktikal peniaga, khususnya mereka yang memerlukan peralatan asas untuk memastikan perniagaan dapat berkembang secara berperingkat.
Bagi usahawan kecil, bantuan bersasar seperti ini boleh menjadi pemangkin untuk mengembangkan perniagaan tanpa perlu menanggung kos permulaan yang terlalu tinggi.
Fahmi mahu penerima dana media kekalkan pekerja, jangan berhentikan
Isu aplikasi TuJu: Fahmi minta LLM tidak lepas tangan, ambil tanggungjawab
Utusan rancang kecilkan operasi, 60 pekerja terkesan?
Hari Kurier Negara: MCMC lancar inisiatif bendung scam bungkusan
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum