Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
Proklamasi 19 April 2026 yang didakwa bertujuan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, adalah tidak sah dan sudah luput, tegas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi itu tidak memegang jawatan Undang mengikut adat Luak masing-masing pada tarikh berkenaan.
Katanya, Perkara 10(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan Undang hanya boleh menyeru Yang di-Pertuan Besar berundur atau melepaskan jawatan selepas siasatan penuh dan lengkap dilaksanakan.
“Malah, Perkara 10(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan bahawa Undang hanya boleh menyeru Duli Yang Maha Mulia berundur atau melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Besar selepas siasatan yang penuh dan lengkap dilaksanakan.
“Syarat itu adalah mandatori, namun tiada siasatan sedemikian yang pernah dilaksanakan, tiada yang pernah dibawa ke hadapan Dewan dan Duli Yang Maha Mulia tidak pernah diberi notis atau peluang untuk didengar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raja Norazli berkata, pada 20 April 2026, Menteri Besar ketika itu enggan menandatangani proklamasi berkenaan di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 kerana syarat ditetapkan tidak dipenuhi, selain terdapat individu yang menandatangani dokumen itu bukan seorang Undang.
“Dengan keengganan itu, fungsi Menteri Besar di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan dan dengan itu proklamasi itu luput dan terbatal,” katanya.
Beliau berkata, tiada siasatan pernah diadakan bagi memenuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS 1959.
Menurutnya, tindakan Menteri Besar baharu menandatangani proklamasi sama pada 3 Ogos lalu juga tidak memulihkan keabsahannya.
“Menteri Besar baharu tidak boleh melaksanakan semula suatu fungsi yang sudah dilaksanakan.
“Jika tidak, setiap pertukaran Menteri Besar akan menghidupkan semula proklamasi yang sama dan perkara itu tidak akan berkesudahan,” katanya.
Raja Norazli berkata, kenyataan media Undang pada 5 September dan sidang media kumpulan berkenaan pada 8 September juga tidak memberi kesan kerana hanya bersandar kepada Proklamasi 19 April yang didakwa cacat dan sudah luput.
Beliau menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kekal kerana tiada proses sah pernah menyebabkan baginda terhenti daripada memegang jawatan itu.
“Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan (DKU). Dewan tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan itu.
“Tidak boleh ada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah. Seseorang yang tidak memegang jawatan tidak boleh menjalankan kuasa jawatan itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Raja Norazli berkata jawatan Undang Luak Jelebu dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong kini kosong, manakala Undang Luak Sungei Ujong, Rembau dan Johol masing-masing disandang individu yang dinyatakan DKU.
“Tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September 2026 lalu dianggap derhaka di sisi adat dan undang-undang,” katanya.
MCMC siasat individu didakwa persenda perkataan dalam al-Quran
Pemuda Melayu didakwa terlibat ritual bukan Islam disiasat: Zulkifli
Penjimatan negara membolehkan hasil dipulangkan kepada rakyat: Anwar
Anwar hargai bantuan Mesir permudah salur bantuan Malaysia ke Gaza
Kerajaan tubuh Tabung Pos RM150 juta, beroperasi awal 2027: Fahmi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum