Dua rakyat Malaysia di Nepal berjaya dikesan, 55 lagi masih gagal dihubungi

August 28, 2026 · Isu semasa

Dua daripada 57 rakyat Malaysia yang sebelum ini gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal berjaya dikesan, manakala 55 lagi masih belum dapat dihubungi setakat 2.22 petang tadi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata kedua-dua individu itu dilaporkan selamat, namun maklumat berkaitan identiti, lokasi dan status mereka masih dalam proses semakan.

“Daripada angka 57 itu, dua orang telah dilaporkan selamat setakat ini,” katanya lapor Bernama.

Menurutnya, semakan silang dilakukan bagi memastikan maklumat yang diterima tepat selain mengelakkan pertindihan dalam senarai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Beliau berkata angka 55 individu itu masih tertakluk kepada pengesahan lanjut berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan.

Menteri Luar, Mohamad Hasan, turut mengarahkan kementerian meneruskan pemantauan rapat terhadap perkembangan operasi mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Susulan itu, seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dihantar ke Kathmandu bagi membantu operasi Kedutaan Besar Malaysia di Nepal, termasuk menyelaras maklumat dan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan.

Kedutaan Malaysia di Kathmandu turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan tindak balas kecemasan, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi berkaitan serta pengendali pelancongan untuk mendapatkan dan mengesahkan maklumat mengenai rakyat Malaysia terbabit.

Setakat ini, pihak berkuasa Nepal melaporkan 528 individu berjaya diselamatkan, terdiri daripada 490 warga Nepal dan 38 warga asing. Bagaimanapun, belum ada rakyat Malaysia dikenal pasti dalam kalangan individu yang diselamatkan.

Banjir kilat dan tanah runtuh berlaku di daerah Rasua pada 26 Ogos susulan limpahan Sungai Bote Koshi. Kejadian itu menyebabkan kerosakan teruk terhadap jalan raya dan jambatan selain gangguan bekalan elektrik serta rangkaian komunikasi.

“Keadaan itu menyukarkan akses ke kawasan terjejas sekali gus menjejaskan usaha mencari dan menyelamat serta mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang berada di kawasan berkenaan,” katanya.

Syed Mohamad Hasrin berkata keadaan di kawasan terjejas kekal mencabar dengan risiko keselamatan yang boleh berubah dengan pantas, selain operasi mencari dan menyelamat berdepan kekangan cuaca serta kerosakan infrastruktur.

“Kita mengharapkan yang terbaik… tetapi dalam keadaan ini agak sukar, pihak berkuasa di sana pun rakyat mereka terlibat… keadaan pun teruk, jalan terputus… jambatan runtuh dan sebagainya,” katanya.

Bilik operasi Kementerian Luar di Putrajaya kini beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat, membantu rakyat Malaysia yang terjejas serta menyalurkan perkembangan terkini kepada ahli keluarga.

Kementerian turut meminta ahli keluarga atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan rakyat Malaysia di Nepal menghubungi Bilik Gerakan Putrajaya di talian +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Berita berkaitan
Taburan hujan hingga 100mm punca banjir 23 kawasan di Selangor: Bernama
3 jam lalu· Isu semasa
APEC 2026: Anwar tekankan perdagangan terbuka, kesalinghubungan
10 jam lalu· Isu semasa
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
November 16, 2026· Isu semasa
Prabowo mohon maaf kepada Malaysia, Singapura susulan isu jerebu
November 15, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Ringgit mengukuh menjelang pengumuman KDNK suku ketiga
10 jam lalu · Isu semasa
MCMC desak Anthropic jelaskan dakwaan manipulasi AI sasar pengundi Malaysia
10 jam lalu · Isu semasa
MOF sasar hutang kerajaan turun kepada 60 peratus KDNK pada 2030
10 jam lalu · Isu semasa
Suspek samun maut berbalas tembakan dengan polis di Chow Kit
10 jam lalu · Isu semasa
Pelaburan digital RM812 juta perkukuh kerjasama Malaysia-Perancis
22 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
20 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok