Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat kegagalan platform media sosial Facebook mengesan atau menghalang siaran langsung insiden serangan terhadap seorang guru di Kuching, Sarawak.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, siasatan itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan berhubung tindakan platform berkenaan.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata, MCMC diberi tanggungjawab untuk meneliti isu berkenaan, termasuk kegagalan Facebook menghalang penstriman langsung yang memaparkan kejadian keganasan.
“Waktu ini, pihak MCMC sedang melakukan siasatan berkaitan isu ini. Kalau kita ingat sebelum ini, di beberapa negara lain ada platform yang gagal menghalang penstriman secara langsung tindakan-tindakan keganasan.
“Jadi, saya serahkan kepada pihak MCMC untuk menyiasat dan membuat kenyataan nanti,” katanya menjawab pertanyaan pemberita sama ada kerajaan sudah meminta penjelasan daripada Meta berhubung kegagalan Facebook mengesan atau menyekat siaran langsung berkenaan.
Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular video memaparkan seorang pelajar dipercayai menyerang seorang wanita yang dikenal pasti sebagai gurunya di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching.
Kejadian itu mencetuskan perhatian ramai, terutama berhubung keselamatan warga sekolah serta keupayaan platform media sosial mengesan dan menyekat kandungan yang memaparkan tindakan keganasan secara langsung.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan senjata yang ditemukan di lokasi ialah pisau kecil jenis penknife serta kapak kecil.
Insiden berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan mekanisme pemantauan kandungan oleh platform media sosial, khususnya dalam menangani siaran langsung yang berpotensi mendedahkan pengguna kepada kandungan ganas.
MCMC kini menjalankan siasatan bagi meneliti perkara itu sebelum tindakan atau penjelasan lanjut diumumkan.
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
Kes cabul anak pegawai kanan polis: Arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum