Dunia perlukan hala tuju jelas, bukan sekadar kuasa: PMX

June 10, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan dunia hari ini tidak berdepan kekurangan kuasa, sebaliknya berdepan krisis kepimpinan yang memerlukan hala tuju jelas dalam mengharungi ketidaktentuan geopolitik yang semakin mencabar.

Berucap pada Forum Nikkei ke-31 di Tokyo hari ini, Anwar berkata masyarakat antarabangsa perlu membina bentuk kerjasama baharu bagi menangani pelbagai cabaran global yang semakin kompleks, termasuk ketegangan geopolitik, persaingan kuasa besar dan ketidaktentuan ekonomi.

Menurut beliau, kepimpinan yang berkesan bukan hanya bergantung kepada kekuatan atau pengaruh, tetapi memerlukan visi yang jelas untuk memandu negara dan masyarakat antarabangsa ke arah masa depan yang lebih stabil.

“Pelaut zaman dahulu tidak dapat meramalkan kedatangan ribut. Mereka tidak dapat mengawal arus, dan mereka juga tidak dapat melihat apa yang berada di sebalik setiap ufuk.

“Apa yang mereka miliki ialah deria arah yang jelas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Navigating Strategic Uncertainty.

Anwar berkata analogi tersebut menggambarkan keadaan dunia masa kini yang berdepan pelbagai cabaran luar jangka, namun masih mampu mengharunginya sekiranya mempunyai arah dan tujuan yang jelas.

Beliau menegaskan dunia tidak kekurangan kuasa, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang mampu membawa perubahan serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.

“Kita tidak kekurangan kuasa. Apa yang kurang ialah hala tuju yang jelas. Institusi memerlukan reformasi dan pembaharuan, bukannya diabaikan.

“Kerjasama perlu diutamakan berbanding perpecahan, manakala kepimpinan memerlukan inisiatif dan bukannya pengunduran diri,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan cabaran global semasa boleh ditukar menjadi peluang sekiranya negara-negara terus berpegang kepada prinsip kerjasama, pembaharuan dan kepimpinan yang bertanggungjawab.

“Jika kita terus berpegang kepada prinsip-prinsip ini, saya benar-benar percaya bahawa kita boleh mengubah cabaran hari ini menjadi peluang untuk hari esok,” katanya lagi.

Ucapan Anwar merupakan pembentangan pertama dalam agenda Forum Nikkei ke-31 yang bertemakan ‘Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia’.

Forum tahunan yang dianjurkan oleh Nikkei Inc. itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, tokoh korporat dan pakar ekonomi dari seluruh dunia untuk membincangkan isu-isu strategik yang mempengaruhi masa depan Asia dan ekonomi global.

Sejak menjadi Perdana Menteri pada November 2022, Anwar kerap menekankan pendekatan diplomasi pelbagai hala, kerjasama serantau dan reformasi institusi sebagai asas penting dalam menghadapi landskap geopolitik yang semakin tidak menentu.

Malaysia juga terus memainkan peranan aktif dalam ASEAN serta memperkukuh hubungan dengan kuasa-kuasa ekonomi utama bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran serantau.

Berita berkaitan
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
14 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
October 28, 2026· Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026· Isu semasa
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
October 29, 2026 · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
October 29, 2026 · Isu semasa
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
15 jam lalu · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
15 jam lalu · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
15 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok