MCMC mengambil tindakan mahkamah terhadap platform Telegram.
Tindakan diambil terhadap pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas dalam Telegram kerana didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), kata Kementerian Komunikasi.
Dalam jawapan di Parlimen, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu tindakan mengikut saluran perundangan diambil terhadap kedua-dua akaun media sosial tersebut yang membawa kepada penurunan kandungan dan penutupan saluran itu.
“Pada masa ini, tindakan undang-undang yang difailkan terhadap Telegram serta pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas masih dalam pertimbangan mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai jaminan kerajaan bahawa tindakan terhadap saluran Telegram seperti Edisi Siasat dan Edisi Khas tidak akan menjejaskan kebebasan bersuara terutamanya apabila kandungan yang disebarkan berkaitan dengan isu ketelusan dan antirasuah.
Fahmi berkata rakyat secara umumnya bebas memaparkan kandungan di mana-mana saluran platform media sosial termasuk berhubung isu ketelusan dan antirasuah.
“(Ia) selagi mana kandungan tersebut serta pemaparannya tidak melanggar peruntukan undang-undang.
“Begitu juga dengan platform media sosial, di mana kandungan boleh dipaparkan di platform yang disediakan, tetapi platform tersebut perlu bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kandungan yang dipaparkan tidak melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.
Fahmi berkata kerajaan kekal komited bagi memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang.
Baja lambat sampai, Anwar arah SPRM siasat
Mufti Wilayah ingatkan bahaya istilah ‘menunggang agama’
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum