MCMC perkukuh tindakan terhadap jualan barangan terlarang dalam talian

November 29, 2026 · Isu semasa

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan, badan kawal selia dan penyedia platform e-dagang bagi membanteras penjualan barangan serta perkhidmatan terlarang dalam talian.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, bengkel yang diadakan buat pertama kali itu menghimpunkan lebih 13 platform e-dagang bersama pelbagai agensi kerajaan bagi menyelaraskan tindakan terhadap produk yang tidak memenuhi piawaian atau melanggar undang-undang negara.

Menurutnya, antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia.

“Kita telah mengadakan satu bengkel yang diadakan buat pertama kalinya mengumpulkan lebih 13 platform e-dagang dan pelbagai agensi penguatkuasaan serta jabatan.

“Perbincangan banyak berkisar isu memastikan produk-produk yang dijual dalam platform e-dagang ini menepati piawaian dan tidak menyalahi undang-undang dalam negara kita,” katanya selepas menyempurnakan majlis penutupan Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian anjuran MCMC yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 November lalu.

Fahmi berkata, bengkel itu berjaya mencapai beberapa persetujuan, termasuk penyediaan garis panduan bagi mengenal pasti produk dan barangan yang dilarang dijual berdasarkan undang-undang sedia ada.

Katanya, larangan itu merangkumi dadah berbahaya, bahan penderaan seksual kanak-kanak atau *child sexual abuse material* (CSAM), senjata api dan barangan lain yang menyalahi undang-undang.

Selain itu, satu penyelarasan turut dicapai berhubung keperluan maklumat daripada platform e-dagang bagi membantu siasatan pihak berkuasa serta tindakan mahkamah sekiranya diperlukan.

“Maklumat yang diperlukan oleh agensi penguatkuasaan bagi tujuan siasatan dan tindakan mahkamah telah diselaraskan supaya semua platform e-dagang memahami keperluan pihak berkaitan, termasuk unit jenayah siber dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini penting supaya sesuatu kes, contohnya melibatkan penjualan dadah, dapat memenuhi keperluan untuk dibawa ke mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi menggalakkan penyedia platform e-dagang menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), sebuah badan bebas yang diwujudkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bagi membolehkan industri turut menyampaikan pandangan mengenai pengawalseliaan kandungan digital.

Sementara itu, bengkel berkenaan turut mengenal pasti tiga hasil utama untuk dilaksanakan, iaitu Daftar Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian, Garis Panduan Pengalihan Keluar Barangan dan Perkhidmatan Terlarang serta Garis Panduan Permintaan, Pemeliharaan dan Pendedahan Maklumat bagi Tujuan Siasatan.

Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, satu Pasukan Petugas Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian akan ditubuhkan bagi menyelaras tindakan susulan, memantau pelaksanaan serta menangani cabaran operasi.

Inisiatif itu merupakan kesinambungan sesi libat urus MCMC bersama agensi penguatkuasaan pada 6 Oktober lalu dan penyedia platform e-dagang pada 7 Oktober lalu, dalam usaha membina ekosistem digital yang lebih selamat dan melindungi pengguna.

Berita berkaitan
Kerajaan sedia saluran alternatif jika MySiren gagal berfungsi
November 29, 2026· Isu semasa
Isu seludup dadah TUDM: Anwar gesa jangan lindungi pengkhianat dalam pasukan keselamatan
2 jam lalu· Isu semasa
MySiren bukan sekadar amaran banjir, boleh kesan tanah runtuh dan orang hilang
2 jam lalu· Isu semasa
Ujian Mysiren bermula, orang ramai mula terima notifikasi kecemasan
2 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Isu penutupan premis Jumaat: Polis rakam keterangan lima individu termasuk MP Kota Melaka
November 29, 2026 · Isu semasa
Shuhaily dipindah, kembali bertugas bersama PDRM? – Laporan
November 29, 2026 · Isu semasa
Universiti diingatkan kawal hiburan ketika konvokesyen: Zambry
November 29, 2026 · Isu semasa
Malaysia perlu tingkat kewaspadaan keselamatan: Anwar
2 jam lalu · Isu semasa
Jumlah pusat NADI meningkat kepada 1,099 tahun ini
21 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] 13 platform e-dagang sepakat banteras jualan barangan terlarang
November 29, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
November 24, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok