Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Kerajaan memperuntukkan RM21.26 bilion bagi perbelanjaan pembangunan di enam negeri yang masih ketinggalan dari segi pembangunan menerusi Belanjawan 2027.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, negeri terbabit ialah Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak, dengan agihan peruntukan mengambil kira keperluan serta komitmen pembangunan setiap negeri.
Menurutnya, jumlah peruntukan itu turut merangkumi projek infrastruktur yang diumumkan sebelum ini, termasuk projek yang pelaksanaannya bermula tahun ini.
“Ada negeri yang mungkin dari segi pembangunan infrastruktur untuk tempoh kita umumkan itu memerlukan komitmen besar.
“Pada masa sama, ini juga melibatkan projek yang walaupun tidak diumumkan pada tahun ini, tetapi pelaksanaannya bermula pada tahun ini,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.
Akmal Nasrullah berkata, perbelanjaan pembangunan bukan sekadar bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi, malah menjadi instrumen penting untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri.
Beliau menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap enam negeri itu akan diteruskan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), tanpa mengira perbezaan politik.
Daripada keseluruhan RM83 bilion peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2027, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan mobiliti sosial.
Antara keutamaan lain ialah pembangunan sekolah, kemudahan kesihatan serta usaha menangani kesan perubahan iklim bagi memastikan peruntukan yang disalurkan memberikan manfaat kepada rakyat.
Beliau turut menyentuh komitmen membangunkan empangan di Kelantan bagi menangani masalah banjir, selain usaha ke arah pembinaan loji rawatan air di Machang.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Kementerian Ekonomi menilai setiap perbelanjaan pembangunan berdasarkan hasil yang ingin dicapai bagi memastikan projek dilaksanakan benar-benar memenuhi objektif asal.
Katanya, projek yang siap tidak semestinya memberikan manfaat sekiranya perancangan awal tidak mengambil kira keperluan sebenar dan keberkesanan pelaksanaannya.
“Adakalanya dalam melaksanakan program ataupun projek, hatta jika projek itu siap sekalipun, ini boleh menjadi gajah putih,” katanya.
Beliau berkata, kementerian turut menilai kajian projek terlebih dahulu sebelum permohonan pelaksanaan dibenarkan bagi mengelakkan masalah seperti ketidaksesuaian tapak hanya dikenal pasti selepas sesuatu projek diumumkan.
Lelaki Islam, ibu ditahan JAIS berhubung ritual agama lain
Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok
MCMC pantau dakwaan maklumat palsu berkaitan isu Belanjawan 2027
Saifuddin: Sistem pendaftaran UNHCR cetus masalah pengurusan pelarian
SPRM, polis siasat isu tunggakan RM314 juta MyEG, Zetrix kepada JPJ
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum