Fahmi Fadzil.
Menjadi menteri bukan tiket untuk mengumpul kekayaan, sebaliknya amanah untuk membantu memperbaiki pentadbiran negara dan memastikan manfaat kerajaan sampai kepada rakyat, kata Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, jawatan dalam kerajaan tidak seharusnya dilihat sebagai peluang mengubah kehidupan peribadi, sebaliknya ruang untuk membantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengurus negara dengan lebih baik.
“Saya jadi menteri bukan untuk jadi kaya. Saya masih pakai jam ‘Timex’, kasut ‘Converse’, baju batik dan saya tidak beli rumah baharu,” katanya ketika berucap pada Program Madani Kita Bersama-sama Komuniti Kota Anggerik di Dewan Melati, Seksyen 7, hari ini.
Fahmi turut berseloroh dengan menyatakan beliau juga tidak berkahwin lain sejak memegang jawatan dalam kerajaan.
Menurutnya, perkara lebih penting ialah memastikan kementerian yang diterajui terus melakukan penambahbaikan supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada dasar dan perkhidmatan kerajaan.
Katanya, Kementerian Komunikasi antara lain memberi perhatian kepada usaha memperluas akses Internet yang lebih meluas, murah dan selamat kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan turut memastikan pelaksanaan rangkaian 5G tidak menyebabkan pengguna dikenakan caj tambahan oleh syarikat telekomunikasi.
“Dulu telco nak caj tambahan untuk 5G, tetapi kita kata tidak. Jangan bebankan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut menyentuh pengalaman Selangor sebagai antara negeri terawal memperkenalkan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat sebelum pendekatan sama dilaksanakan di Kuala Lumpur.
Katanya, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di peringkat negeri boleh dijadikan contoh oleh pentadbiran lain sekiranya wujud komitmen memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Fahmi turut menggesa rakyat memberikan sokongan kepada kepimpinan Selangor termasuk Menteri Besar, Amirudin Shari, barisan Exco dan wakil rakyat negeri bagi memastikan kestabilan pentadbiran terus dipertahankan.
Pada masa sama, beliau menegaskan pendirian menolak kleptokrasi serta sebarang bentuk penyelewengan yang boleh merugikan rakyat.
“Kita di Selangor menolak kleptokrasi. Jangan kita sayang balik kleptokrat,” tegasnya.
Beliau berkata, kestabilan pentadbiran dan kepimpinan yang telus penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan serta manfaatnya dinikmati rakyat.
Fahmi turut menyeru rakyat terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Anwar untuk meneruskan pentadbiran kerajaan bagi penggal seterusnya.
Pengendali aplikasi TuJu mohon maaf, navigasi dijangka pulih 6 November
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum