Festival Sungai Melaka cipta dua rekod Malaysia Book of Records

July 22, 2026 · Isu semasa

Festival Sungai Melaka 2026 mencipta sejarah apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan 10,670 biji kuih keria dan replika konda-kondi terbesar, sekali gus mengangkat warisan makanan serta permainan tradisional sebagai tarikan pelancongan budaya negeri.

Rekod pertama dicatat menerusi penghasilan 10,670 biji kuih keria, melepasi sasaran asal sebanyak 10,000 biji. Kuih tradisional itu disediakan hasil kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Bahagian Promosi Pelancongan (Tourism Melaka), institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat.

Menurut PPSPM, kejayaan itu mencerminkan usaha bersama dalam memelihara warisan kulinari tempatan dan memperkenalkannya kepada lebih ramai pengunjung.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen semua pihak dalam memartabatkan kuih tradisional sebagai warisan kulinari yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan identiti tersendiri,” menurut kenyataan itu.

Sebaik selesai proses pengiktirafan, ribuan biji kuih keria yang masih panas diagihkan kepada pengunjung di Dataran Pengkalan Rama sebagai simbolik perkongsian kejayaan bersama masyarakat.

Sambutan menggalakkan daripada orang ramai turut memeriahkan suasana festival.

Festival itu turut mencipta satu lagi rekod apabila menerima pengiktirafan MBOR bagi kategori replika konda-kondi terbesar.

Replika berkenaan dihasilkan dengan sokongan NUHEA Sdn Bhd selaku penaja utama Pertandingan Konda-Kondi sebagai usaha menghidupkan semula permainan tradisional Melayu dalam kalangan generasi muda serta pelancong.

Menurut PPSPM, penghasilan replika itu menjadi penghargaan terhadap usaha Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkenalkan semula permainan konda-kondi sebagai antara warisan budaya negeri yang perlu dipelihara.

Festival Sungai Melaka 2026 menghimpunkan pelbagai program berteraskan warisan, kebudayaan dan pelancongan termasuk pertandingan konda-kondi, aktiviti komuniti serta acara kekeluargaan yang berlangsung di beberapa lokasi.

Buat julung kali, festival itu dianjurkan selama empat bulan melibatkan tiga daerah di Melaka dengan tema “Melaka Sayang Rakyat (MESRA)”, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai penduduk dan pelancong menikmati pelbagai program berasaskan warisan dan budaya.

Festival Sungai Melaka dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan Sungai Melaka sebagai produk pelancongan utama negeri di samping mengetengahkan keunikan budaya, makanan tradisional dan identiti tempatan.

Dengan dua pengiktirafan terbaharu itu, Melaka kini mengumpul lima rekod Malaysia Book of Records dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Antara rekod terdahulu ialah penghasilan onde-onde terbanyak dalam satu acara, negeri pertama menganjurkan pertandingan konda-kondi serta pencapaian promosi pelancongan di platform WeChat.

Menurut PPSPM, kejayaan itu dijangka memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan warisan negara serta menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui penganjuran program berimpak tinggi yang menonjolkan identiti budaya tempatan.

Berita berkaitan
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
24 jam lalu· Politik
MCA semakin terpinggir dalam BN, dakwa pemimpin PKR
October 27, 2026· Politik
Zahid sahkan MCA kekal bertanding PRN Melaka, calon dipilih kekal
October 27, 2026· Politik
Bersatu masuk bertanding PRN Melaka, umum kerusi 29 Oktober
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
October 28, 2026 · Isu semasa
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
October 28, 2026 · Isu semasa
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
October 28, 2026 · Isu semasa
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
7 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok