Kedudukan pengukuhan ringgit mencerminkan kestabilan ekonomi negara.
Faktor domestik seperti pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) serta pengukuhan nilai ringgit dijangka menjadi pemacu utama prestasi pasaran pada suku pertama 2026.
Malacca Securities dalam nota penyelidikannya berkata, sentimen pasaran dijangka bertambah baik selepas tahun 2025 yang penuh ketidaktentuan, termasuk rasionalisasi subsidi dan kesan tarif timbal balik 19 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas produk Malaysia.
Menurut firma pelaburan itu, hala tuju ringgit yang semakin stabil dan cenderung mengukuh bakal memberi sokongan kepada pasaran.
“Kami menjangkakan ringgit diniagakan antara RM3.90 hingga RM4.10 berbanding dolar AS dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Tambahnya, jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat berpotensi melemahkan dolar AS, sekali gus memberi kelegaan kepada sektor domestik seperti pengguna, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan perbankan.
“Ini boleh membantu meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan dan sentimen pelabur,” menurut nota itu.
Mengulas mengenai TMM 2026, Malacca Securities menjangkakan sektor pelancongan akan muncul sebagai antara pemacu ekonomi terbesar tahun depan.
Kerajaan menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan anggaran RM329 bilion terimaan pelancongan. “Inisiatif ini berpotensi melonjakkan imej Malaysia sebagai destinasi global yang mampan dan bernilai tinggi,” katanya.
Sentimen positif itu dijangka memberi kesan limpahan kepada sektor penerbangan, hospitaliti, REIT, penjagaan kesihatan dan pengguna.
Bagi sektor penjagaan kesihatan pula, prospeknya kekal cerah selari dengan peningkatan populasi warga emas.
“Permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan, penyelesaian persaraan dan produk mesra warga emas dijangka terus meningkat dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam sektor teknologi, firma itu melihat kerjasama strategik antara ARM Holdings dan Malaysia serta kolaborasi YTL dengan Nvidia sebagai langkah penting yang mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian nilai semikonduktor dan kecerdasan buatan.
“Momentum ini dijangka memberi manfaat khususnya kepada pemain perkhidmatan pembuatan elektronik, terutama di Johor,” katanya, sambil menambah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bakal menjadi pemangkin pertumbuhan jangka panjang negara.
RTM ambil langkah sekat akses VPN ke RTMKLIK
Onn Hafiz ubah jadual untuk hadir ke majlis bersama Loke
Pelatih silat mengaku tidak bersalah hina institusi Agong
Bekas pegawai NGO berdepan kes rasuah RM98 juta, 2 jam baca 158 pertuduhan
Onn Hafiz dan Loke bertemu selepas perang mulut politik
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar