Muhammed Yusoff Rawther dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pendakwaan gagal membuktikan
kes prima facie.
Mahkamah melepas dan membebaskan Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.
Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia juga menghadapi satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 28 April lalu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 13 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 7 April lalu.
Antara saksi ialah Ketua Serbuan Ops Laras yang juga pegawai polis di Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, 37.
Saksi lain adalah Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Inspektor Muhammad Zuhairi Md Zuhir, 36, dan ahli kimia, Harlisa Haidhir Harminder daripada Jabatan Kimia Malaysia.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan turut menawarkan tujuh saksi kepada pasukan pembelaan sekiranya tertuduh diperintah membela diri.
Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
MCMC siasat hantaran 3R hina Tuanku Muhriz
Isu eFishery: KWAP masih kukuh, Tengku Zafrul sifatkan dakwaan bankrap sebagai ‘auta’
NADI sasar jadi pusat lahirkan pakar AI luar bandar: MCMC
Kementerian kurangkan latihan di hotel ambil langkah berhemah berbelanja: Fahmi
Perbicaraan Vivy Yusof: Saksi beritahu RM8 juta masuk dipindahkan ke akaun lain
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil
[VIDEO] Aminuddin akui laluan tak mudah, sanggup berlari untuk tawan DUN Linggi, kubu kuat BN