Gempa bumi.
Gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda perairan Sabah pada jam 12.57 tengah malam tadi disahkan sebagai yang terkuat direkodkan di Malaysia dalam tempoh 11 tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan rekod jabatan itu, gegaran paling kuat sebelum ini ialah gempa bermagnitud 6.0 yang berlaku di Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015.
“Gempa kali ini adalah yang paling kuat direkodkan sejak 2015. Bagaimanapun, setakat ini tiada gempa susulan dikesan,” katanya kepada Bernama.
Gempa pada 2015 kekal sebagai antara tragedi paling diingati negara apabila meragut 18 nyawa dan memberi kesan besar kepada penduduk di Sabah, khususnya di kawasan Ranau dan sekitar Gunung Kinabalu.
Mengulas kejadian terbaharu itu, Mohd Hisham menjelaskan kedudukan Sabah yang berhampiran Lingkaran Api Pasifik menjadikan negeri berkenaan terdedah kepada aktiviti seismik susulan pergerakan plat tektonik.
“Pusat gempa berada pada kedalaman 678 kilometer di bawah permukaan bumi. Disebabkan kedalaman itu, hanya gegaran lemah dirasai oleh orang ramai,” katanya.
Menurut MetMalaysia, pusat gempa terletak kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat, Sabah. Gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Sabah selain Sarawak dan beberapa bahagian di Semenanjung Malaysia.
Dalam kenyataan awal, MetMalaysia turut mengesahkan gempa berkenaan tidak mencetuskan ancaman tsunami. Agensi itu kini menjalankan pemantauan rapi dan akan terus menilai perkembangan aktiviti seismik dari semasa ke semasa.
Anwar pertahan pendekatan diplomasi Malaysia dalam berdepan krisis Asia Barat
Kerajaan perkukuh usaha hadapi krisis tenaga, lindungi rakyat: Fahmi
Iran dakwa tembak jatuh pesawat tentera AS di Isfahan
KPDN cari jalan ringankan beban pengusaha stesen minyak
Subsidi diesel melonjak tiga kali ganda selepas krisis global
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan