Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Bersatu Negeri Sembilan mencalonkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu susulan pengunduran Muhyiddin Yassin daripada jawatan tersebut.
Bersatu Negeri Sembilan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Abdul Hadi, menyifatkannya sebagai tokoh paling sesuai untuk memimpin PN dalam suasana politik yang mencabar.
Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, berkata Abdul Hadi memiliki kewibawaan dan pengalaman luas untuk menyatukan parti-parti komponen PN.
“Beliau merupakan tokoh paling layak, berwibawa dan strategik untuk diangkat sebagai pengerusi PN yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hanifah, landskap politik semasa menuntut seorang pemimpin yang mempunyai autoriti moral kukuh serta mampu mengurus gabungan secara berdisiplin dan berkesan.
“Jawatan pengerusi PN wajar disandang oleh presiden parti komponen yang mempunyai mandat tertinggi dalam parti masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan autoriti dan kelemahan pentadbiran,” katanya lagi.
Hanifah turut melepaskan jawatan sebagai pengerusi PN Negeri Sembilan pada 30 Disember lalu susulan pengunduran Muhyiddin.
Beliau juga menegaskan pengerusi PN perlu diterima merentas kaum dan latar masyarakat.
“Kedudukan Abdul Hadi sebagai tokoh nasional yang dikenali dan dihormati menjadikan beliau aset penting kepada kredibiliti PN,” katanya.
Walaupun begitu, Hanifah menegaskan hanya Muhyiddin dan Abdul Hadi mempunyai legitimasi sebenar dalam PN.
“Memandangkan Muhyiddin telah berundur, Abdul Hadi adalah pilihan paling rasional dan kukuh untuk memastikan kestabilan kepimpinan PN,” katanya.
Setakat ini, PAS masih belum mengumumkan pendirian rasmi berhubung calon pengganti Muhyiddin yang menerajui PN sejak gabungan itu ditubuhkan pada 2020.
Kawal mulut timbalan dan ketua pemuda UMNO dulu: DAPSY beritahu Zahid
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
PRN berasingan bukan faktor kelebihan kepada BN: Khaled
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi