Hamzah umum parti baharu, tapi tidak letak jawatan seperti Rafizi

June 13, 2026 · Politik

Hamzah Zainudin tidak meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen ketika mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara (PWN), berbeza dengan Rafizi Ramli yang sebelum ini memilih mengosongkan kerusinya apabila melancarkan parti Bersama.

Pengumuman Hamzah itu dibuat pada Konvensyen Reset Malaysia di Kota Harmoni hari ini selepas beberapa bulan terpaksa mencari parti baharu sejak dipecat daripada Bersatu kerana isu pelanggaran disiplin.

Rafizi sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan selepas meninggalkan PKR bagi menubuhkan parti Bersama, dengan alasan mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat dan memberi peluang kepada pengundi menentukan sama ada mereka menerima hala tuju politik yang dibawanya.

Langkah itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan pemerhati politik kerana jarang dilakukan oleh pemimpin yang meninggalkan parti asal untuk menubuhkan wadah politik baharu.

Hamzah sebaliknya tidak mengumumkan sebarang peletakan jawatan, malah menegaskan bahawa PWN akan menjadi platform penyatuan yang bekerjasama dengan PAS dan parti-parti lain yang mempunyai matlamat sehaluan bagi membentuk kesepahaman politik lebih menyeluruh.

Menurutnya, kerjasama tersebut penting bagi membina kekuatan politik yang lebih tersusun dan stabil dalam mendepani cabaran semasa negara.

“Kami mahu bersama membentuk kesepahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif. Kami akan membina satu kekuatan seperti bangunan yang tersusun kukuh demi agenda masa depan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada konvensyen berkenaan.

Beliau berkata, parti baharu itu diwujudkan bukan sekadar untuk menambah bilangan parti politik sedia ada, sebaliknya sebagai wadah yang mampu menyatukan pelbagai kelompok masyarakat serta memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti yang berkongsi aspirasi sama.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, konvensyen sulung Gerakan Reset Malaysia itu bakal menjadi catatan sejarah kerana berjaya menghimpunkan penyokong daripada pelbagai latar belakang di bawah satu platform.

“Konvensyen hari ini akan menjadi satu catatan sejarah. Kehadiran peserta dari seluruh negara menunjukkan rakyat menyambut baik usaha penyatuan yang sedang digerakkan.

“Kami hadir bukan untuk bermusuh dengan sesiapa dan bukan juga untuk menyerang mana-mana pihak. Sebaliknya, kami berkumpul di sini bagi mengorak langkah ke arah penyatuan umat serta memperkukuhkan kesatuan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Menurut beliau, usaha penyatuan tersebut tidak bermaksud mengetepikan kaum lain, sebaliknya bertujuan memastikan keharmonian negara terus dipelihara melalui semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Kami mahu memastikan negara ini terus aman dan harmoni. Pada masa sama, hubungan antara kaum perlu terus diperkukuhkan berasaskan rasa hormat dan persefahaman,” katanya.

Konvensyen itu turut mendapat perhatian apabila menghimpunkan beberapa tokoh politik dan pemimpin pelbagai parti.

Antaranya Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar, Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai serta Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.

Turut hadir beberapa bekas pemimpin Parti Bersatu termasuk Abdul Rahim Thamby Chik, selain pimpinan PAS dan tokoh politik dari seluruh negara.

Berita berkaitan
Kerjasama BN-PAS dilihat lebih untungkan UMNO: Penganalisis
15 jam lalu· Politik
Hentikan politik takutkan rakyat: Mahfuz
July 21, 2026· Politik
Akmal pertahan penyatuan parti Melayu selepas disindir UMNO cium ‘tapak kaki’
July 20, 2026· Politik
Khaled yakin persefahaman BN-PN akan buat Bersatu ‘K.O.’ di Negeri Sembilan
July 19, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
PRN NS: Anwar harap pengundi kekalkan Aminuddin berdasarkan rekod
3 jam lalu · Politik
PRN N9: PH ikrar teruskan dasar beri manfaat kepada rakyat
8 jam lalu · Politik
Malaysia kekal tegas, tidak tunduk desakan Ahli Kongres AS: Loke
10 jam lalu · Politik
PMX: Kerajaan PH Negeri Sembilan berjaya kembalikan hasil pembangunan kepada rakyat
13 jam lalu · Politik
DUN Jeram Padang: Kebajikan rakyat jadi keutamaan Manivanan
13 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Syarikat telco bocor data Khairul Aming merisaukan, Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh
July 21, 2026
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil
July 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok