Bekalan minyak masih stabil di Malaysia.
Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat daripada tekanan kenaikan kos bahan api, walaupun harga minyak mentah dunia melonjak lebih 40 peratus dan kini melepasi AS$100 setong susulan konflik berpanjangan di Asia Barat.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat untuk memastikan kestabilan kos sara hidup terus terpelihara.
“Kerajaan kekal komited melindungi kesejahteraan rakyat dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM).
Bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026, harga RON97 meningkat kepada RM5.15 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM3.87 seliter.
Harga diesel di Semenanjung pula naik kepada RM5.52 seliter, sementara Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Menurut kementerian, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, harga bahan api domestik masih dipengaruhi pasaran global kerana sebahagian bekalan diperoleh dari luar negara.
“Seiring aspirasi ekonomi semasa, kerajaan akan memastikan manfaat dikembalikan kepada rakyat dengan melindungi mereka daripada tekanan kos bahan api,” katanya lagi.
Sebagai langkah sokongan, program subsidi seperti BUDI95 diteruskan bagi memastikan golongan layak menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Subsidi diesel untuk pengangkutan awam dan logistik darat juga dikekalkan, dengan beban subsidi kerajaan dianggarkan melebihi RM3 bilion sebulan.
Selain itu, bantuan diesel individu dinaikkan kepada RM300 sebulan bermula Mac 2026, berbanding RM200 sebelum ini.
Pada masa sama, kerajaan memperketat penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, termasuk di kawasan sempadan.
Penjualan RON95 kepada kenderaan asing kekal dilarang, dan pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas tidak dibenarkan.
Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan dasar subsidi bersasar yang diperkenalkan sebelum ini, ketika kerajaan berdepan tekanan fiskal akibat peningkatan kos global.
“Kerajaan akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat bagi memastikan ekonomi negara dan kehidupan rakyat kekal terjamin,” katanya.
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi