Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menggesa semua pihak menghentikan polemik berhubung dakwaan penghantaran diesel ke Filipina dan menumpukan perhatian kepada usaha memulihkan ekonomi negara yang berdepan cabaran.
Menurut Perdana Menteri, isu berkenaan sebenarnya melibatkan urus niaga syarikat asing, Vitol, yang beroperasi di Pengerang dan bukan syarikat tempatan.
“Ia bukan syarikat Petronas. Mereka memang ada perjanjian menjual minyak ke Filipina. Bukan kita yang memberi minyak, kita hanya membenarkan laluan kerana ia milik pihak dalam perjanjian asing,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Madani bersama Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu hari ini.
Beliau menegaskan kontroversi tersebut tidak sepatutnya diperbesarkan.
“Walaupun ada sedikit kontroversi, saya harap hentikanlah dan tumpu kepada usaha membangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang,” ujarnya lagi.
Isu ini timbul selepas laporan media luar negara mendakwa Malaysia menghantar ratusan ribu tong diesel ke Filipina, sekali gus mencetuskan kritikan daripada pihak tertentu termasuk pembangkang.
Bagaimanapun, kerajaan dan Petronas sebelum ini telah menafikan sebarang penglibatan dalam penghantaran tersebut, manakala Pasukan Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara turut mengesahkan diesel berkenaan bukan berasal dari Malaysia.
Pada masa sama, Anwar meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pihak yang menurutnya tidak menghargai usaha kerajaan mengekalkan subsidi bahan api.
“Peruntukan subsidi minyak meningkat dengan ketara, tetapi tidak ramai yang berterima kasih,” katanya.
Beliau menjelaskan subsidi RON95 kini mencecah kira-kira RM5 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini, manakala subsidi diesel meningkat daripada RM2 bilion kepada RM7 bilion sebulan.
“Diesel masih kita subsidi untuk petani, nelayan, pengangkutan awam dan bas sekolah,” katanya lagi.
Tambah beliau, peningkatan kos subsidi memberi tekanan besar kepada kewangan negara sehingga memaksa beberapa projek besar ditangguhkan.
“Jumlah RM7 bilion sebulan itu bukan kecil. Kita terpaksa dahulukan projek yang beri impak terus kepada rakyat,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang ketidakpuasan hati boleh disalurkan melalui rundingan, bukan dengan kecaman melampau.
“Ada yang terkesan, ya. Mereka boleh buat tuntutan atau runding, tetapi tidak perlu caci maki,” katanya.
Kerajaan cari jalan bantu syarikat media bertahan: Fahmi
Gagal tangani akaun palsu kerabat diraja, kerajaan teliti tindakan terhadap Meta: Fahmi
Fahmi santuni bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini, serah sumbangan HAWANA
Quranic Madani akan diperluas, sambutan orang ramai luar biasa: Menteri Agama
Fahmi menghadap Sultan Selangor sembah isu akaun palsu kerabat diraja
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan