Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menjelaskan majlis makan malam yang dihidangkan dengan minuman beralkohol adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta, bukannya anjuran kerajaan.
Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin yang mendakwa arak dihidang dalam majlis rasmi kerajaan adalah tidak berasas dan boleh menjejaskan usaha murni industri pelancongan.
“Majlis makan malam yang dijadikan isu oleh YB Mas Ermieyati sebenarnya adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
“Mereka begitu teruja kerana buat julung kalinya kita mengambil inisiatif menganjurkan acara global sebegini, dan atas semangat tersebut, mereka berhasrat menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa,” jelas King Sing dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet, manakala majlis makan malam tersebut digunakan sebagai platform untuk melancarkan Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Ia satu peluang untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui kerjasama erat dengan pihak industri.
“Sebanyak 318 acara daripada setiap negeri di Malaysia telah disenaraikan dalam Kalendar Acara VM2026 ini – adakah usaha sebegini juga dianggap salah?” soal beliau.
King Sing turut menasihati Mas Ermieyati agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelirukan orang ramai.
“Mengeluarkan kenyataan tanpa memahami fakta sebenar bukan sahaja mengelirukan, malah menampakkan kejahilan,” tegasnya.
Beliau mengingatkan jika isu remeh seperti ini terus diperbesarkan, ia akan menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.
“Akhirnya, siapa lagi yang berani datang ke negara kita?” soalnya lagi.
Isu ini tercetus apabila Mas Ermieyati mendakwa minuman beralkokol dihidangkan dalam sebuah majlis makan malam sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.
Beberapa gambar daripada majlis tersebut menunjukkan King Sing dan tetamu lain memegang gelas wain dan bir.
SPRM buka dua kertas siasatan berhubung isu dana hampir RM300 juta: Laporan
Anwar nafi isu tanah Malaysia diserah kepada Indonesia
RUU PSB perlu dibaiki demi hak penduduk, UMNO tak tolak pembangunan: Asyraf
Saluran aduan media kini dibuka, fokus profesional dan telus: Fahmi
X ambil langkah tingkat keselamatan, beri kerjasama baik: Fahmi
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong