Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali juga sebagai Papagomo.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan injunksi interim dua pihak oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau dikenali sebagai Papagomo.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari ketika pengurusan kes hari ini, selepas kedua-dua pihak bersetuju supaya pendengaran penuh dibuat selepas proses pertukaran afidavit diselesaikan.
Mahkamah turut melanjutkan perintah injunksi ad-interim yang sebelum ini diperoleh MCMC sehingga permohonan berkenaan diputuskan.
Hakim menetapkan afidavit jawapan perlu difailkan pada 20 Julai, diikuti afidavit balasan pada 3 Ogos. Hujahan bertulis pula perlu dikemukakan pada 24 Ogos, manakala hujahan balas perlu difailkan sebelum 7 September.
“Pihak-pihak perlu memfailkan afidavit jawapan pada 20 Julai, afidavit balasan pada 3 Ogos, hujahan pada 24 Ogos dan hujahan balas pada 7 September. Mahkamah melanjutkan injunksi ad-interim,” kata hakim.
Peguam Nurshafiqa Balqish Jaffri yang mewakili MCMC memaklumkan Wan Muhammad Azri telah memasukkan kehadiran dalam saman itu dan kedua-dua pihak bersetuju agar pendengaran injunksi inter-parte ditetapkan selepas dokumen berkaitan difailkan.
“Saya juga memohon supaya perintah injunksi ad-interim dilanjutkan sehingga pelupusan permohonan ini,” katanya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri mengesahkan persetujuan tersebut.
Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi interim ex-parte oleh MCMC bagi menghalang Wan Muhammad Azri daripada menerbitkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap suruhanjaya itu.
Perintah itu turut mengarahkan dia menghentikan penerbitan dan penyebaran kandungan yang didakwa palsu, mengelirukan atau memudaratkan melalui mana-mana platform media sosial, termasuk menggunakan akaun sedia ada atau akaun baharu.
Kes itu bermula selepas MCMC memfailkan saman pada 27 Mei lalu, mendakwa Wan Muhammad Azri menerusi akaun media sosialnya membuat kenyataan suruhanjaya itu menyekat laporan mahkamah berkaitan kes melibatkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Dalam pernyataan tuntutannya, MCMC menafikan pernah terbabit dalam sebarang bentuk penapisan terhadap laporan berkaitan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara Fahmi dan Wan Muhammad Azri.
MCMC mendakwa kenyataan berkenaan tidak benar, tidak berasas dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan pengawal selia komunikasi serta multimedia negara itu.
Pendengaran pada Oktober nanti dijangka menentukan sama ada perintah sementara yang sedang berkuat kuasa akan diteruskan sehingga kes saman utama diputuskan.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum