Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Keluarga perlu menjadi benteng pertama dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman dunia digital yang semakin kompleks.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ibu bapa, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempunyai peranan penting dalam membimbing anak-anak menggunakan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.
Katanya, ancaman seperti buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi digital serta kandungan memudaratkan memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Internet selamat adalah tanggungjawab semua. Kita perlu memastikan ibu bapa, guru dan komuniti mempunyai pengetahuan untuk membimbing anak-anak dalam dunia digital,” katanya ketika merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dianjurkan Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hari ini.
Konvensyen bertemakan “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua” itu menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru, kepimpinan PIBG, pentadbir sekolah, wakil agensi kerajaan, rakan strategik dan komuniti.
Program itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan literasi digital selain memperkukuh peranan keluarga dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.
MCMC melihat institusi keluarga sebagai asas penting dalam membentuk generasi yang lebih celik digital, berdaya tahan dan bertanggungjawab ketika menggunakan Internet.
Usaha itu juga dilihat penting susulan peningkatan penggunaan media sosial dan platform digital dalam kalangan kanak-kanak serta golongan muda.
Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 memasuki siri ketiga selepas sebelum ini dianjurkan di Pahang dan Perak.
Program itu akan diteruskan di Johor, Sabah dan Sarawak dengan sasaran memperkasa lebih satu juta rakyat Malaysia sepanjang tahun ini menerusi pengetahuan berkaitan keselamatan dalam talian.
Antara isu yang diberi perhatian termasuk penipuan dalam talian, buli siber, had umur penggunaan media sosial serta eksploitasi dan penganiayaan seksual kanak-kanak.
MCMC turut akan meneruskan program advokasi dan literasi digital, selain memperkukuh kerjasama strategik serta tindakan kawal selia dan penguatkuasaan bagi mewujudkan ruang digital lebih selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha meningkatkan keselamatan kanak-kanak di Internet kini menjadi antara fokus utama kerajaan susulan perkembangan pesat penggunaan platform digital dan media sosial.
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum