Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan satu kajian mendapati majoriti ahli akar umbi MCA dan MIC sebenarnya tidak mahu meninggalkan Barisan Nasional (BN) seperti yang digembar-gemburkan.
Zahid yang juga Pengerusi BN menyindir sikap sesetengah pemimpin parti berkenaan yang didakwanya ‘merajuk’ kerana tidak lagi diberikan ‘mainan’, namun menegaskan suara segelintir pemimpin itu tidak menggambarkan sentimen sebenar penyokong setia gabungan itu.
“Kita membuat kajian, ahli di bawah tidak mahu keluar daripada BN, tetapi satu tokoh-tokoh itu mungkin mereka perlukan *toys*, jadi apabila tidak dapat *toys* lagi, maka mereka hentak-hentakkan kaki di lantai,” katanya dipetik dalam laporan Mingguan Malaysia.
Zahid juga berkata telah menemui pimpinan kedua-dua parti tersebut beberapa kali baru-baru ini dan menegaskan BN tetap menganggap MCA dan MIC sebagai ‘rakan teras’ dalam gabungan itu.
“Keunikan kita ialah kita boleh berbeza pendapat, tetapi apabila kita membuat keputusan, kita buat keputusan bersama,” ujarnya.
Mengenai isu peminggiran dalam Kerajaan Perpaduan, Zahid menjelaskan pada peringkat awal pembentukan kerajaan, MCA dan MIC sendiri menolak tawaran jawatan.
“Tetapi kalau sekarang mereka mahu, tunggulah Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya sambil menekankan keperluan untuk memastikan kemenangan terlebih dahulu.
Sementara itu, beliau mengambil sikap terbuka mengenai ahli MIC yang berjumpa dengan parti lain seperti Bersatu.
“Mereka boleh jumpa, mereka boleh berbincang, tetapi bila mahu membuat keputusan, mereka mesti memaklumkan kepada dewan tertinggi BN,” tegasnya.
Kenyataan Zahid ini dilihat menjawab perkembangan terkini, termasuk kenyataan Presiden MIC, S.A. Vigneswaran, yang bersedia berunding dengan mana-mana parti bagi memastikan kelangsungan MIC.
Ia juga menyusul selepas jemputan terbuka daripada PAS untuk MCA dan MIC menyertai Perikatan Nasional, serta kehadiran pemimpin muda MIC dalam majlis Bersatu baru-baru ini.
Mat Maslan perlu minta maaf secara terbuka di Dewan Rakyat, gesa AMK Johor
Minit rahsia dedah bantahan AG, menteri terhadap tahanan rumah Najib: Bernama
Tular berita DUN Perak bubar, Pejabat MB tampil nafi
Tuanku Muhriz titah Ismail teruskan tugas MB seperti biasa: Laporan
Aminuddin: Jangan heret institusi adat dalam kemelut politik UMNO
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron