Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Platform media sosial perlu memikul tanggungjawab lebih besar untuk mengesan dan menurunkan kandungan memudaratkan secara proaktif, tanpa terus bergantung kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerajaan kini sedang melengkapkan kerangka kawal selia di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 atau Akta 866, termasuk memuktamadkan peraturan berkaitan ciri-ciri pesanan peribadi.
Menurutnya, MCMC sedang menjalankan rundingan awam bagi membangunkan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-Ciri Pesanan Peribadi), yang bermula pada 19 Jun dan dijadual berakhir 20 Julai ini.
Beliau berkata, peraturan itu antara 10 instrumen subsidiari yang merangkumi peraturan, kod dan garis panduan bagi memperincikan kewajipan penyedia perkhidmatan digital berlesen di bawah Akta 866.
“Kesemua perundangan subsidiari, kod dan garis panduan ini digubal bagi memperincikan kewajipan serta obligasi pemberi perkhidmatan berlesen di bawah Akta 866, di samping memberikan panduan yang jelas mengenai pematuhan terhadap tanggungjawab statutori,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai status pembangunan instrumen subsidiari di bawah akta berkenaan, termasuk peraturan, garis panduan dan mekanisme pelaksanaannya.
Fahmi berkata, empat peraturan subsidiari telah berkuat kuasa serentak dengan Akta 866 pada 1 Januari lalu, manakala dua lagi mula dikuatkuasakan pada 1 Julai.
Antaranya ialah peraturan berkaitan fi, bentuk aku janji, Tribunal Rayuan Keselamatan Dalam Talian, tempoh pelaksanaan, pengkompaunan kesalahan dan pelan keselamatan dalam talian.
Akta 866 diperkenalkan bagi memperkukuh keselamatan pengguna internet, khususnya dalam menangani ancaman seperti penipuan dalam talian, perjudian digital, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan berbahaya di platform media sosial.
Fahmi berkata, pelaksanaan akta bersama peraturan subsidiari itu akan menuntut platform digital supaya lebih cekap mengesan kandungan yang melanggar undang-undang atau garis panduan komuniti.
“Bukan sepatutnya masalah kandungan memudaratkan ini ditangani oleh MCMC. Sepatutnya masalah kandungan memudaratkan ini ditangani oleh platform itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, sejak 1 Januari hingga Rabu, MCMC mengenal pasti sebanyak 345,712 kandungan memudaratkan untuk diturunkan daripada platform digital.
Setiap permohonan, katanya, mengambil masa antara 30 hingga 45 minit kerana pegawai perlu menyediakan dokumen dan justifikasi sebelum kandungan itu boleh diklasifikasikan sebagai memudaratkan.
“Kalau kita ambil angka 345,712 dan didarab dengan 30 minit bagi setiap permohonan, bermaksud dari 1 Januari hingga semalam, MCMC telah menggunakan sejumlah 19.7 tahun waktu bekerja untuk memfailkan kandungan yang dipercayai memudaratkan,” katanya.
Menurut Fahmi, kira-kira 91 peratus daripada kandungan yang dimohon untuk diturunkan melibatkan perjudian dan penipuan dalam talian yang dihasilkan secara berulang oleh penjenayah.
Beliau berkata, MCMC kini meneliti penggunaan teknologi kecerdasan buatan ejen atau ‘agentic AI’ bagi mempercepatkan pengurusan aduan dan mengurangkan beban kerja pegawai.
Pada masa sama, beliau menggesa syarikat platform media sosial menggunakan teknologi AI dengan lebih meluas untuk mengesan dan menurunkan kandungan berbahaya sebelum ia tersebar kepada pengguna.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum