Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur,
Anwar Ibrahim memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak berpengaruh agar tidak campur tangan dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya melibatkan kes berprofil tinggi dan jenayah besar.
Perdana Menteri menegaskan gangguan sedemikian hanya akan menjejaskan proses siasatan serta menyukarkan pihak berkuasa menjalankan tugas dengan telus.
“Jangan ada campur tangan menghalang tindakan PDRM dan agensi penguatkuasaan. Kadang-kadang yang melindungi itu orang berpengaruh dan ini menyulitkan kerja polis,” katanya semasa berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
Beliau turut menambah, arahan jelas telah diberikan supaya semua pihak tidak sesekali menghalang tindakan undang-undang.
Kenyataan itu hadir ketika kerajaan mempergiat usaha memperkukuh integriti institusi penguatkuasaan, susulan kebimbangan lama mengenai campur tangan pihak berkepentingan dalam kes-kes besar.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu ‘orang kebal’ sering diperkatakan apabila individu berpengaruh didakwa terlepas daripada tindakan undang-undang.
Pada masa sama, Anwar turut memuji ketegasan PDRM yang kini dilihat lebih agresif menumpaskan sindiket jenayah dan rasuah, termasuk melibatkan tokoh besar yang sebelum ini jarang disentuh.
“Syukur kerana saya lihat ada keberanian untuk bertindak, bukan sahaja kepada perasuah kecil tetapi juga perasuah besar yang bermaharajalela selama puluhan tahun,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan membongkar sindiket besar membuktikan profesionalisme dan tekad pasukan keselamatan semakin kukuh, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Anwar juga menegaskan kerajaan komited memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil tanpa memihak kepada golongan tertentu.
Menurutnya, reformasi perundangan penting bagi memastikan prinsip keadilan terus terpelihara.
“Undang-undang mesti diasaskan kepada keadilan, bukan untuk memihak kepada kelompok berkuasa atau berharta,” katanya.
Beliau turut mengingatkan keamanan yang dipelihara pasukan keselamatan menjadi asas penting kepada agenda reformasi negara, termasuk pembangunan ekonomi dan transformasi digital.
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
Cucu dedah dakwa dirogol, warga emas direman enam hari
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi