Sidang media Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mesyuarat Kabinet bersetuju dengan cadangan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu buli secara menyeluruh, dengan mesyuarat pertamanya dijadualkan pada Selasa depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, memaklumkan mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said dan dijangka membincangkan cadangan penubuhan tribunal antibuli serta penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) khususnya di asrama-asrama pendidikan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini membincangkan keperluan bagi membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menangani masalah buli.
“Ia akan mengumpulkan pelbagai kementerian dan agensi untuk menyelaraskan beberapa perkara selepas kita membuat beberapa pindaan termasuk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan.
“Mesyuarat pertama nanti juga akan mengambil kira aspek SOP bagi asrama dan yang seumpamanya,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Menurut Fahmi, jawatankuasa ini akan menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi bagi menyelaraskan dasar dan tindakan menangani isu buli.
Mesyuarat tersebut juga akan membincangkan cadangan penempatan warden bekas tentera di asrama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi meningkatkan keselamatan pelajar.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menekankan semua tindakan oleh kementerian, agensi dan jabatan akan diselaraskan melalui jawatankuasa ini susulan pindaan akta berkaitan yang berkuat kuasa bulan lalu.
Jawatankuasa khas ini akan dianggotai oleh wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) serta kementerian-kementerian berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi bagi menangani aspek buli siber.
“Kita tidak mahu wujudnya keadaan yang berbeza-beza dalam pelaksanaan SOP. Perkara ini akan diteliti secara terperinci termasuk dari aspek saluran aduan dan proses pendakwaan,” tambah Fahmi.
Penubuhan jawatankuasa ini merupakan langkah proaktif kerajaan bagi memastikan isu buli ditangani secara efektif dan bersepadu di semua peringkat.
RCI Tabung Haji: Kerajaan buat keputusan Rabu ini
CTPR: MCMC perkukuh kapasiti kawal selia digital Malaysia, ASEAN
Jangan heret istana dalam politik : Istana Negeri Sembilan
Ringgit dibuka tinggi menjelang PRN Negeri Sembilan: Bernama
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
[VIDEO] Khaled Nordin lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih