Fahmi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah di kediaman Tun Dr Mahathir. Foto kredit: Bernama
Jenazah Tun Dr Hasmah Mohd Ali akan disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, bersebelahan pusara isteri Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Endon Mahmood.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat keluarga Allahyarham dan dimaklumkan Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA).
Menurutnya, kerajaan turut menetapkan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara bagi memberi penghormatan terakhir kepada tokoh berkenaan.
“Dalam kenyataan media Pejabat Perdana Menteri, pihak kerajaan telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk memastikan istiadat pengebumian pembesar negara diberikan buat Dr Hasmah,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman keluarganya.
Beliau hadir bersama isterinya kira-kira jam 2.15 petang, manakala Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi turut hadir memberikan penghormatan terakhir.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pula dijadual hadir ke masjid bagi mengikuti urusan penghormatan dan pengurusan jenazah Allahyarham.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata semua stesen radio dan televisyen turut diarahkan membuat penyesuaian terhadap kandungan serta rancangan sepanjang hari ini sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham.
Mengimbas kenangan bersama Tun Dr Hasmah, Fahmi berkata antara memori terawalnya ialah ketika beliau berusia 12 tahun apabila Allahyarham menyaksikan pementasan teater yang disertainya bersama rakan-rakan sekolah.
“Itu mungkin antara kenangan terawal saya. Saya rasa pemergian ini semestinya tidak disangka, tetapi itulah ketentuan Ilahi.
“Beliau amat bermakna bagi ramai orang dan jasa beliau sebagai seorang ibu serta seorang doktor akan sentiasa kita kenang,” katanya.
Tun Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi Isnin pada usia 100 tahun.
Allahyarham dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan merupakan antara tokoh wanita yang dikenali luas dalam bidang perubatan serta kehidupan kemasyarakatan negara.
Pemergian beliau turut menerima penghormatan daripada pelbagai pihak, termasuk kepimpinan negara, susulan sumbangan panjangnya kepada masyarakat dan negara.
Jenazah Allahyarham dijangka disemadikan di Pusara Negara, lokasi yang menjadi tempat persemadian tokoh-tokoh negara.
Shuhaily dijangka beri penjelasan video tular di KLIA
29 kawasan catat IPU tidak sihat, Selangor paling terjejas
KPMG cadang SST lebih mesra perniagaan: Bernama
MEF: Kenaikan gaji minimum perlu ikut kemampuan majikan
40,000 unit dalam 20 bulan, Proton e.MAS terus berkembang
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum