Jho Low
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dilaporkan antara kira-kira 250 individu yang sedang dipertimbangkan untuk menerima pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempena sambutan ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan negara itu pada 4 Julai ini.
Laporan The Atlantic menyebut Rumah Putih sedang meneliti satu cadangan untuk mengumumkan “250 pengampunan bagi 250 tahun”, sebagai simbolik sambutan 250 tahun kemerdekaan AS.
Selain Jho Low, penyanyi kumpulan Fugees, Pras Michel, turut dikatakan berada dalam senarai individu yang dipertimbangkan untuk menerima pengampunan berkenaan.
Michel sebelum ini disabitkan bersalah kerana berkomplot dengan Jho Low dan seorang pegawai kerajaan China dalam usaha mengatur kempen melobi bagi menghentikan siasatan jenayah AS terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini, dengan penasihat Trump masih berbeza pandangan sama ada pengampunan secara besar-besaran itu wajar diteruskan.
Seorang penasihat yang dipetik The Atlantic berkata, kajian dalaman menunjukkan langkah itu berpotensi memberi kelebihan politik kepada Trump, namun keputusan dijangka tidak akan dibuat sebelum sambutan Hari Kemerdekaan AS.
Penyokong cadangan itu pula berpandangan pengampunan besar-besaran boleh memperlihatkan kuasa presiden serta mengukuhkan imej Trump sebagai pemimpin yang bersedia memberi peluang kedua kepada pesalah.
“Pengampunan itu boleh menyerlahkan kuasa presiden dan imej Trump sebagai seorang pemimpin yang pemaaf,” menurut laporan berkenaan.
The Atlantic turut melaporkan cadangan itu mencetuskan pelbagai usaha melobi, termasuk daripada pihak luar negara yang mahu mendapatkan akses kepada Trump bagi mengemukakan kes masing-masing.
Wakil Jho Low dilaporkan tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan media untuk mengulas perkara itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Malaysia tidak akan mengemukakan bantahan sekiranya Jho Low memohon pengampunan daripada Trump.
Namun, beliau menegaskan keputusan itu adalah hak kerajaan AS, manakala Jho Low tetap perlu berdepan proses perundangan di Malaysia.
“Kerajaan Malaysia tidak menyokong usaha itu, tetapi keputusan untuk memberi pengampunan adalah hak kerajaan Amerika Syarikat,” kata Anwar sebelum ini.
Jho Low didakwa menjadi antara dalang utama penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion, kira-kira RM17.7 bilion, daripada dana 1MDB bersama dua bekas pegawai Goldman Sachs.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
Harga diesel tanpa subsidi naik 20 sen, RON95 cecah RM4.42
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum