Jordan-Malaysia mahu perkukuh kerjasama pertahanan

6 jam lalu · Isu semasa

Raja Jordan, Raja Abdullah II mencadangkan supaya kerjasama pertahanan antara Jordan dan Malaysia diperkukuh, khususnya dalam teknologi ketenteraan, perisikan serta pembangunan sistem dron dan antidron bagi menghadapi cabaran keselamatan semasa.

Baginda bertitah, keupayaan Malaysia dalam industri pertahanan, perisikan dan pembangunan bakat mampu melengkapi usaha Jordan memodenkan angkatan tenteranya, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara.

“Beta percaya keupayaan industri, perisikan dan bakat muda yang dimiliki Malaysia dapat melengkapi usaha kami melaksanakan perubahan besar dalam angkatan tentera, khususnya dalam peralihan kepada peperangan menggunakan dron dan antidron,” titah baginda.

Raja Abdullah II bertitah demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di Istana Negara hari ini sempena lawatan negara baginda selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.

Baginda turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama perisikan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara, terutama ketika landskap peperangan dan ancaman keselamatan terus berubah.

Menurut baginda, konflik di Ukraine serta perkembangan keselamatan di rantau masing-masing memberikan pengajaran penting mengenai keperluan mempertingkat penggunaan teknologi pertahanan dan keupayaan menghadapi ancaman baharu.

Selain pertahanan, Raja Abdullah II turut menggesa supaya hubungan perniagaan antara Jordan dan Malaysia diaktifkan semula menerusi pertukaran delegasi serta lawatan bagi mengenal pasti peluang pelaburan dan kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Baginda berkata, perubahan laluan perdagangan global dan rantaian bekalan membuka ruang untuk kedua-dua negara meneroka bidang ekonomi baharu, termasuk minyak sawit, industri halal, pendidikan dan inovasi.

Kerjasama dalam pendidikan dan inovasi juga penting bagi menyediakan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi perkembangan teknologi masa hadapan.

Raja Abdullah II turut menyatakan harapan supaya Sultan Ibrahim dan Kerajaan Malaysia dapat mengadakan lawatan ke Jordan dalam beberapa bulan akan datang bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama tambahan.

Menyentuh isu serantau, baginda menegaskan Jordan dan Malaysia berkongsi pendirian mengenai Palestin, termasuk sokongan terhadap penyelesaian dua negara sebagai jalan ke arah keamanan berkekalan.

Baginda turut menggesa supaya pelanggaran Israel di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis dihentikan, termasuk tindakan yang boleh menjejaskan status quo sejarah dan perundangan tempat-tempat suci.

Pada masa sama, baginda menegaskan kedaulatan dan keselamatan Lubnan serta Syria perlu dihormati, manakala masyarakat antarabangsa perlu mengambil langkah bagi mengelakkan ketegangan serantau daripada terus memuncak.

Baginda berharap hubungan erat Jordan-Malaysia dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh usaha bersama menangani cabaran keselamatan serta menyokong keamanan dan kestabilan serantau.

Berita berkaitan
MCMC turunkan kandungan hina Agong di Threads
6 jam lalu· Isu semasa
Agong kurnia darjah kebesaran tertinggi kepada Raja Jordan
11 jam lalu· Isu semasa
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
October 11, 2026· Isu semasa
Anwar hargai bantuan Mesir permudah salur bantuan Malaysia ke Gaza
October 10, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
October 12, 2026 · Isu semasa
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
October 12, 2026 · Isu semasa
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
4 jam lalu · Isu semasa
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
4 jam lalu · Isu semasa
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
4 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok