Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim memaklumkan Kabinet akan membincangkan dan membuat keputusan esok mengenai beberapa insiden serius yang membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk kes rogol dan pembunuhan yang melibatkan pelajar.
Perdana Menteri berkata perkara itu akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat esok bagi menangani kebimbangan orang ramai susulan beberapa insiden yang berlaku di sekolah.
“Esok kita akan bincang dalam Kabinet, secara terperinci. Saya sudah berbincang secara ringkas dengan menteri dan beberapa pihak. Kita akan buat keputusan esok,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Bersama Mesyuarat ke-43 Menteri Tenaga ASEAN dan Mesyuarat Berkaitannya serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 hari ini.
KPM kini berada di tengah-tengah tumpuan awam ekoran tiga insiden membimbangkan yang dilaporkan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
Dua daripada empat remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan ke atas seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Melaka telah didakwa di Mahkamah Juvana Alor Gajah hari ini.
Manakala, pada Selasa lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam oleh rakan sekelas lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, mengesahkan kejadian itu berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan.
Dalam satu insiden terbaharu di Baling, Kedah, empat remaja termasuk tiga pelajar sekolah telah ditahan kerana disyaki melakukan rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar lain dan berkongsi rakaman video lucah mangsa.
Siasatan awal mendapati perbuatan sumbang itu didakwa berlaku dari bulan Mei hingga Ogos di beberapa bilik darjah.
Taburan hujan hingga 100mm punca banjir 23 kawasan di Selangor: Bernama
Ringgit mengukuh menjelang pengumuman KDNK suku ketiga
MCMC desak Anthropic jelaskan dakwaan manipulasi AI sasar pengundi Malaysia
MOF sasar hutang kerajaan turun kepada 60 peratus KDNK pada 2030
Suspek samun maut berbalas tembakan dengan polis di Chow Kit
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron