Stesen minyak.
Kerajaan akan menyekat penggunaan kad kredit dan debit asing bagi pembelian petrol RON95 di pam layan diri secara berperingkat bermula Rabu ini, dalam usaha memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat yang layak.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam berkata langkah itu diperkenalkan susulan peningkatan kes penyalahgunaan bahan api bersubsidi oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing.
“Ini antara mekanisme baharu untuk kita kawal pembelian dan penjualan petrol RON95 di semua stesen minyak dalam negara,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini terdapat banyak kes pengguna kenderaan asing mengisi minyak menggunakan kad antarabangsa di pam layan diri, sekali gus menyukarkan pemantauan pihak berkuasa.
Di bawah pelaksanaan baharu itu, pengguna kad asing masih boleh membeli bahan api, namun perlu membuat bayaran di kaunter.
Kaedah ini dilihat mampu meningkatkan kawalan serta memudahkan pengusaha stesen minyak mengenal pasti transaksi yang mencurigakan.
“Bila bayaran dibuat di kaunter, kita lebih mudah pastikan mereka yang tidak layak tidak dapat menikmati subsidi,” jelasnya lagi.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan lebih tegas kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi bahan api yang dilaporkan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
RON95 merupakan petrol bersubsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia, namun sering menjadi sasaran penyalahgunaan termasuk aktiviti penyeludupan rentas sempadan.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN turut menguatkuasakan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan asing bermula tarikh sama.
Selain itu, penjualan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dikawal mengikut had tertentu bagi setiap transaksi, bergantung kepada kategori kenderaan.
Azman menegaskan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan penglibatan kira-kira 2,400 pegawai di seluruh negara.
“Kami juga memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan tiada ruang untuk ketirisan dan penyelewengan,” katanya.
Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk menambah baik sistem subsidi bahan api, di tengah tekanan kos sara hidup dan keperluan memastikan sumber negara dimanfaatkan secara lebih berkesan.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib