Kapal tangki Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa bayaran.
Iran memberi jaminan kapal milik Malaysia boleh melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan sebarang bayaran tol, di tengah kebimbangan berhubung keselamatan laluan penting itu susulan ketegangan geopolitik di rantau Teluk.
Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai beberapa kapal Malaysia yang kini berada di Teluk Parsi dan berhasrat menggunakan laluan strategik berkenaan.
“Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan ingin melaluinya.
“Kami telah mempertimbangkan perkara ini dan mereka akan dibenarkan lalu. Ia tidak menjadi masalah kerana Malaysia adalah negara sahabat,” katanya.
Menurut beliau, Iran tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada kapal Malaysia.
“Sudah tentu kapal Malaysia bebas lalu. Kami tidak akan mengenakan bayaran,” tambahnya.
Isu itu timbul selepas laporan media antarabangsa mendakwa Iran mewujudkan pusat pungutan tol di Selat Hormuz, dengan bayaran dilaporkan mencecah sehingga AS$2 juta (sekitar RM8 juta) bagi setiap kapal.
Perkara tersebut turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang meminta penjelasan kerajaan mengenai status kapal Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Luar Mohamad Hasan memaklumkan tujuh kapal tangki Malaysia sedang menunggu kebenaran untuk melalui laluan tersebut. Kapal berkenaan terdiri daripada tiga milik Petronas, dua milik MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab, dan menjadi nadi utama perdagangan minyak global.
Sebarang gangguan di laluan ini boleh memberi kesan besar kepada bekalan tenaga dan ekonomi dunia.
Dalam perkembangan sama, Valiollah menjelaskan selat tersebut tidak ditutup sepenuhnya.
Sebaliknya, sekatan hanya dikenakan secara terpilih terhadap negara yang dianggap terlibat atau menyokong tindakan ketenteraan terhadap Iran.
“Laluan masih dibuka kepada negara sahabat, tertakluk kepada penyelarasan dengan pihak berkuasa Iran,” jelasnya.
Iran dakwa tembak jatuh pesawat tentera AS di Isfahan
Subsidi diesel melonjak tiga kali ganda selepas krisis global
PMX pertahan bantuan ke Gaza, tanda prihatin berterusan sesama umat Islam
Pergerakan pasaran bursa dijangka kekal berhati-hati minggu depan
Harga barang kekal stabil selagi bekalan cukup: Mohamad Sabu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan