Dr Dzulkefly Ahmad.
Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan proses pengisian 4,352 jawatan sektor kesihatan secara ‘fast track’ dan tidak mengikut kaedah konvensional bagi memenuhi keperluan mendesak tenaga kerja berkenaan ketika ini.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, semalam, malah beliau sendiri menekankan keperluan untuk mempercepatkan proses terbabit.
“Saya telah menegas serta menekankan supaya Ketua Setiausaha KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan menyegerakan pengisian itu melalui kaedah ‘fast track’ berbanding konvensional,” katanya selepas merasmikan Persidangan Saintifik Tahunan & Mesyuarat Agung Tahunan Ke-55 Persatuan Juru X-Ray Malaysia hari ini.
Mengenai isu pendaftaran pengamal kesihatan bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) pula, Dr Dzulkefly meminta semua pengamal perubatan menyegerakan pendaftaran rasmi dan mendapatkan Perakuan Amalan (APC) sebelum 31 Disember 2026.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mewujudkan ekosistem amalan kesihatan bersekutu yang diiktiraf, dikawal selia dan berteraskan kualiti.
Sementara itu Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu KKM, L Mageswary, berkata individu yang gagal mendaftar secara rasmi atau mengamal tanpa APC boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Mana-mana individu yang menggaji seseorang tidak berdaftar bawah akta ini (Akta 774) untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pengamal profesion kesihatan bersekutu, adalah melakukan suatu kesalahan.
“Jika disabitkan bersalah, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, denda tambahan hingga RM1,000 sehari boleh dikenakan.
“Bagi pertubuhan, perbadanan, perkongsian atau mana-mana entiti organisasi pula, denda boleh mencecah hingga RM100,000 dan untuk kesalahan berterusan, denda tambahan sebanyak RM5,000 sehari boleh dikenakan,” katanya. – Bernama
PMX mahu tatakelola tanah diperkukuh, pencerobohan dibendung
Subsidi kerajaan turun 40 peratus, bantuan untuk rakyat melonjak
Muhyiddin gesa siasatan telus tragedi Irene Sofiya
Kerangka baharu bagi graduan hadapi dunia kerja era AI: MCMC
Pesara rugi lebih RM300,000 ditipu sindiket pelaburan dalam talian: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum