Fahmi Fadzil.
Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di platform media sosial setakat ini berada dalam keadaan terkawal tanpa sebarang aduan pelanggaran undang-undang diterima.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung salah laku sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap penyebaran maklumat tidak sahih, termasuk kandungan yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, orang ramai perlu mendapatkan maklumat berkaitan pilihan raya daripada sumber rasmi, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi mengelakkan kekeliruan mengenai perjalanan proses pengundian.
“Setakat ini, saya tidak ada terima aduan yang dipanjangkan kepada saya oleh pihak MCMC. Jadi, setakat ini, nampaknya dalam media sosial keadaannya agak terkawal.
“Rujuk dengan sumber yang sahih, sumber yang rasmi. Kalau berkaitan perjalanan pilihan raya, sumbernya hanya satu, iaitu pihak SPR. Rujuklah juga dengan media arus perdana,” katanya ketika menghadiri program jelajah mesra bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Muhammad Hakimin Mokhtar, di Pasar Malam Ayer Molek, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam perkembangan sama, Fahmi menegaskan beliau tidak pernah campur tangan atau mengeluarkan arahan kepada mana-mana organisasi media berhubung liputan kempen PRN Melaka.
Beliau mengulas dakwaan terdapat stesen televisyen yang dilihat lebih cenderung memberikan liputan kepada parti politik tertentu sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, kebanyakan organisasi media beroperasi sebagai syarikat swasta dan kerajaan tidak menentukan jumlah atau kandungan liputan yang perlu diberikan.
Sebaliknya, beliau mencadangkan Majlis Media Malaysia meneliti sebarang laporan media yang didakwa tidak seimbang supaya nasihat sewajarnya dapat diberikan.
“Saya tidak ada menghubungi mana-mana media untuk menentukan peratusan, kandungan dan sebagainya. Saya tidak mengeluarkan sebarang arahan.
“Kita minta supaya Majlis Media Malaysia meneliti perjalanan sekiranya ada mana-mana media yang mungkin kurang seimbang dan boleh dinasihatkan,” katanya.
Untuk rekod, PRN Melaka kali ini menyaksikan parti-parti politik bersaing mendapatkan mandat rakyat bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian, menjadikan tempoh akhir kempen antara waktu penting untuk pengundi menilai tawaran serta manifesto parti-parti bertanding.
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
Isu transaksi Jho Low: BNM diminta bertindak terhadap Deutsche Bank
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan