Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.
Isu-isu dibangkitkan Badan Peguam Malaysia dipandang serius kerajaan dengan mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ketelusan dalam prosedur pelantikan hakim mahkamah atasan, kata Azalina Othman Said.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi itu berkata kerajaan mengambil maklum perkara dibangkitkan peguam yang berarak dalam program ‘Walk to Safeguard Judicial Independence’ semalam dan kerajaan memberi komitmen menjaga kesucian institusi kehakiman negara.
“Berhubung dengan Walk to Safeguard Judicial Independence’ oleh Badan Peguam Malaysia, Kerajaan Madani mengambil maklum akan kebimbangan yang dibangkitkan dan menegaskan komitmen untuk menangani isu ini secara bertanggungjawab dan telus, berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam hal ini, sebagai usaha meningkatkan ketelusan dalam prosedur pelantikan Hakim Mahkamah Atasan, pada minggu lalu Kerajaan Madani telah mengumumkan pelaksanaan Kajian Perbandingan pelantikan Hakim Mahkamah Atasan yang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) secara bersama-sama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas dari Dewan Negara dan Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azalina menjelaskan kajian yang dijalankan itu akan memberi gambaran secara jelas proses dalam menentukan lantikan seseorang hakim mahkamah atasan kepada awam dan menjemput Badan Peguam untuk memberi input sama berhubung kajian tersebut.
“Kajian ini untuk memberikan kejelasan yang lebih baik mengenai peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pada masa sama menangani sebahagian isu yang turut dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia.
“Kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan semua pihak termasuk Badan Peguam Malaysia, yang juga akan dijemput menyertai kajian ini, bagi memastikan sistem pelantikan hakim yang lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat,” ujarnya lagi.
Dalam kenyataan sama, Azalina juga berkata terdapat mekanisme yang sedia ada digunakan untuk menangani isu salah laku seseorang hakim jika wujud.
“Kerajaan ingin menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan mekanisme yang jelas untuk menangani salah laku hakim,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya lagi, Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku.
Menurutnya, hakim yang sedang disiasat boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara.
“Selain itu, Perkara 125(3A) memperuntukkan kuasa kepada Ketua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 (Akta 703).
“Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim
“Judges’ Code of Ethics 2009 [P.U. (B) 201/2009], yang telah berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009, turut menjadi rujukan penting untuk menetapkan standard tingkah laku hakim secara jelas dan berlandaskan undang-undang,” katanya.
Guru rugi RM325,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai AMLA
Guan Eng desak Sosma dimansuh susulan penahanan remaja 16 tahun
Agong berangkat ke Russia untuk lawatan khas: Laporan
SPRM sita aset RM9.7 juta dalam siasatan pelaburan RM300 juta
Sultan Pahang tegur salah guna kuasa di sebalik baju seragam dan institusi
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong