Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Kerajaan sedang memperhalusi langkah memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam penggunaan permainan dalam talian menerusi pendekatan libat urus bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan lebih menyeluruh.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, usaha itu penting bagi memastikan kaedah kawal selia yang diperkenalkan bersifat praktikal dan berkesan dalam mengurangkan risiko kepada golongan bawah umur dalam ekosistem digital.
“Walaupun platform permainan dalam talian belum tertakluk kepada pelesenan, tindakan masih boleh diambil jika kandungan didapati melanggar undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau menjelaskan, tindakan penguatkuasaan boleh meliputi permintaan penurunan kandungan, siasatan lanjut dan sekatan terhadap laman sesawang yang melanggar peruntukan undang-undang, bergantung kepada tahap kesalahan.
Selain itu, beliau juga mengingatkan peranan ibu bapa sebagai barisan pertama perlindungan kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.
“Peranti bukan pengasuh, peranti bukan pengganti ibu bapa. Pemantauan rapi perlu dilakukan supaya anak-anak tidak terdedah kepada unsur keganasan, jenayah, perjudian dan ganjaran maya yang boleh mendorong tingkah laku agresif,” katanya.
Menjawab soalan berhubung pemantauan aktiviti pedofilia dalam ruang digital, Nie Ching menegaskan perkara itu berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), selaras peruntukan undang-undang sedia ada.
Ujarnya, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memantau dan mengambil tindakan terhadap kandungan berbahaya, termasuk eksploitasi seksual kanak-kanak.
“MCMC bertindak apabila kandungan melanggar peruntukan undang-undang, khususnya berkaitan penerbitan bahan tidak senonoh melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penguatkuasaan diperkukuh melalui operasi khas seperti Ops Pedo 1.0 dan Ops Pedo 2.0 bagi membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak di alam siber.
Tambahnya, kerajaan sudah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mewajibkan kawalan kandungan memudaratkan, selain kajian sedang dijalankan berhubung kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna media sosial untuk meningkatkan perlindungan kanak-kanak.
2,257 pengarah syarikat gagal bayar caruman disekat ke luar negara
Bekalan minyak kekal stabil walaupun berdepan konflik Asia Barat
Stok beras dipertingkat hingga 9 bulan, bekalan mencukupi: Mohamad
Politik stabil tarik minat pelabur asing ke Malaysia
Kerajaan kaji semula kerja dari rumah bagi penjawat awam, langkah berjimat
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan