Kerajaan MADANI terus kukuh di bawah naungan Agong: Anwar

10 jam lalu · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mentadbir negara dengan penuh dedikasi dan keyakinan di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai lambang perpaduan dan kestabilan negara.

Beliau berkata, prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi asas pentadbiran negara terus diperkukuh menerusi kebijaksanaan Baginda dalam memayungi rakyat serta institusi negara.

“Kerajaan MADANI tertegak dan kukuh dengan kesetiaan dan perpaduan rakyat yang rata-rata dipupuk semangat serta tekad untuk membina negara meski berdepan dengan badai dan sikap perkauman,” katanya semasa menyampaikan sembah ucapan pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Menurut Anwar, sistem Raja Berperlembagaan yang diwarisi sejak kemerdekaan menjadi tonggak penting dalam menjamin kestabilan negara selain memelihara agama Islam dan hak rakyat pelbagai kaum.

“Muafakat keramat negara telah menzahirkan Perlembagaan yang menyediakan sistem yang mewajarkan kehadiran institusi beraja sebagai pemelihara agama Islam serta menjamin keadilan dan kesaksamaan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan meneruskan usaha memperkukuh demokrasi dan tadbir urus negara selaras dengan titah Sultan Ibrahim yang memberi penekanan terhadap tatakelola baik dan usaha membanteras penumpuan kekayaan dalam kelompok kecil.

Katanya, kerajaan komited memastikan pengagihan pembangunan lebih adil termasuk kepada negeri-negeri serta golongan miskin dan terpinggir.

Dalam pada itu, Anwar mengakui negara sedang berdepan pelbagai cabaran global termasuk tekanan ekonomi dunia, perubahan iklim, perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) serta ketidaktentuan geopolitik serantau.

Menurut beliau, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan mengurangkan beban rakyat.

“Cabaran mengemudi bahtera negara harus lebih bijak dengan menetapkan dasar dan ikhtiar yang menjamin kestabilan serta mengurangkan beban ditanggung rakyat,” katanya.

Beliau berkata antara langkah yang diperkenalkan termasuk penjimatan perbelanjaan kerajaan, penyasaran subsidi RON95 dan pelaksanaan inisiatif Budi MADANI.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan bersasar dan jaringan keselamatan sosial terus diperkasa bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terpelihara ketika kos sara hidup meningkat.

Pada masa sama, beliau berkata ekonomi negara masih menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan pelaburan asing serta kadar pengangguran yang rendah walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Katanya, reformasi fiskal, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana serta agenda transformasi digital turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti khususnya kepada golongan muda.

Mengakhiri ucapan, Anwar menzahirkan penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas pemerintahan baginda yang disifatkan sebagai simbol penyatuan rakyat dan keluhuran negara.

“Seluruh rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda serta memperteguh azam demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta,” katanya.

Istiadat pengurniaan kali ini merupakan yang ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Julai 2024.

Berita berkaitan
Jangan tabur fitnah di media sosial, elak penularan kandungan palsu: Agong
10 jam lalu· Isu semasa
Agong bertitah gesa hormati Rukun Negara, teras perpaduan dan keharmonian kaum
10 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan kaji semula perbelanjaan susulan krisis global: Akmal Nasrullah
May 31, 2026· Isu semasa
Anwar ajak rakyat tolak kebencian sempena Hari Wesak
May 31, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Platform media sosial perlu patuh syarat had umur 16 tahun: Fahmi
7 jam lalu · Isu semasa
Platform media sosial wajib sahkan umur pengguna mulai hari ini
8 jam lalu · Isu semasa
MOF jelaskan ralat paparan BUDI95, kuota kekal 200 liter
13 jam lalu · Isu semasa
Akaun media sosial kini wajib sahkan umur pengguna
13 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan cadang wajibkan pengiklan dalam media sosial sahkan identiti, elak scam
May 31, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok