Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kerajaan Perpaduan kekal berpegang kepada prinsip muafakat dan tidak akan mengambil sebarang tindakan yang boleh dianggap mengkhianati rakan politik dalam gabungan sedia ada, kata Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan masih komited mempertahankan kerjasama yang terjalin sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022.
Anwar berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang isyarat yang menunjukkan wujud usaha untuk menggugat kestabilan gabungan tersebut, malah anggota Jemaah Menteri terus menyatakan pendirian yang sama dalam memastikan kerajaan kekal kukuh.
“Saya belum dengar lagi apa-apa pandangan. Malah Jemaah Menteri, dari segi pimpinan yang ada dalam Jemaah Menteri itu tuntas dan konsisten menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat kebangsaan harus kukuh,” katanya dipetik laporan Bernama.
Beliau mengulas dakwaan beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dijangka menyertai PKR susulan perkembangan terkini hubungan politik antara PAS dan Bersatu.
Terdahulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mengambil kira pelbagai laporan, kajian dan penilaian terhadap hubungan kedua-dua parti.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pendekatan politik yang diamalkan dalam Kerajaan Perpaduan berasaskan rundingan dan persefahaman, bukannya tindakan terburu-buru yang boleh menjejaskan hubungan antara parti.
“Kita dalam politik nak cerai, talak, kahwin itu bagi saya bukan cara kitalah. Kita runding dengan baik, bincang dengan baik, kerjasama dengan baik.
“Setakat ini, Kerajaan Perpaduan masih teguh walaupun di peringkat negeri dah ada yang berbeza pendapat sedikit,” katanya.
Beliau turut menegaskan sebarang keputusan politik di peringkat negeri adalah tanggungjawab pimpinan parti masing-masing dan tidak semestinya mencerminkan pendirian kerajaan di peringkat Persekutuan.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU-15 terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain.
Gabungan itu diwujudkan bagi memastikan kestabilan politik negara selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Sementara itu, Anwar berkata tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah melaksanakan agenda pembangunan negara dan memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara luar.
Menurutnya, usaha menarik pelaburan asing serta memperluaskan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor akan terus menjadi keutamaan kerajaan.
Beliau dijadual menghadiri mesyuarat ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia, minggu depan sebelum meneruskan lawatan ke Turkmenistan bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor tenaga, khususnya berkaitan potensi sumber gas.
Hadi sahkan PAS cerai Bersatu kerana halang kumpulan Hamzah sertai PN
PAS cerai Bersatu kerana mahu hidupkan MN dengan UMNO: Marzuki
PAS punca kerjasama parti Melayu-Islam gagal, Tun Faisal dakwa banyak penipuan
Parti Amanah sindir PAS lebih teruk daripada bau kambing, hanya fikir kepentingan diri
PAS bukan putus hubungan terus dengan Bersatu: Tuan Ibrahim
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi