Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Kerajaan menyasarkan pewujudan 500,000 peluang pekerjaan menerusi perancangan berkaitan kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh kemahiran tenaga kerja bagi menghadapi perubahan landskap pasaran buruh.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkembangan AI, pendigitalan dan automasi perlu dimanfaatkan sebagai peluang untuk memperkukuh ekonomi, khususnya menerusi peluasan industri pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) serta sektor strategik berimpak tinggi.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
Menurutnya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran meningkatkan komposisi pekerjaan mahir kepada 35 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja menjelang 2030, berbanding 30.1 peratus pada 2025.
“Cabarannya bagaimana kita meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi untuk memudahkan ataupun meningkatkan kecekapan tenaga kerja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau merujuk kajian Universiti Stanford yang diterbitkan pada September lalu, mendapati AI generatif memberi kelebihan kepada pekerja berpengalaman dan berkemahiran tinggi, namun berpotensi menjadi cabaran kepada pekerjaan berkemahiran rendah.
Akmal Nasrullah berkata, pada 2025, sebanyak 57 peratus tenaga kerja negara berada dalam kategori pekerjaan separuh mahir, manakala 12.9 peratus lagi terdiri daripada pekerja berkemahiran rendah.
Menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai pelan peralihan tenaga kerja berikutan perkembangan AI, automasi dan pendigitalan, beliau berkata keperluan bakat turut diberikan perhatian dalam pelbagai dasar pembangunan negara.
Antaranya termasuk RMK13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional serta Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030.
Beliau turut memaklumkan kajian Talent Corporation Malaysia Berhad pada November 2024 mendapati 90 peratus pekerjaan sedia ada kekal relevan melalui penyesuaian kemahiran, manakala 10 peratus lagi berdepan kesan automasi atau penyelarasan semula fungsi akibat perkembangan teknologi.
“Bagi memastikan impak perkembangan AI, pendigitalan dan automasi ini tidak menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam skala besar, program pembangunan bakat merangkumi pensijilan, peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula akan terus diperkukuh,” katanya.
Kerajaan juga akan mempergiat kerjasama antara sektor awam, industri dan institusi akademik melalui platform MyMahir Future Skills Talent Council (MyMahir FSTC). Sebanyak 17 majlis MyMahir FSTC telah ditubuhkan dengan setiap satunya dipengerusikan penggiat industri berbeza.
Lebih 9,600 akaun keldai sudah dikenakan tindakan
Mohamad Hasan sahkan rakyat Malaysia di Riyadh selamat
Akta Perkhidmatan Parlimen perkukuh reformasi institusi: Anwar
Penjawat awam nikmati rebat Pandapro hingga Disember
Anwar kecam dunia gagal bela Palestin
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum