Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan dan menyebarkan gambar serta video berunsur seksual melibatkan guru dan pelajar sebuah sekolah di Kedah.
MCMC berkata pihaknya menerima aduan berhubung kandungan yang didakwa dihasilkan menggunakan teknologi AI sebelum disebarkan menerusi media sosial.
Menurut MCMC, penyalahgunaan teknologi berkenaan boleh memberi kesan serius terhadap keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa, lebih-lebih lagi jika membabitkan kanak-kanak.
“MCMC menegaskan penyalahgunaan teknologi AI untuk menghasilkan atau menyebarkan kandungan seksual yang boleh menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa, khususnya kanak-kanak, adalah tertakluk kepada tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
MCMC menjelaskan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan membabitkan kanak-kanak, hukuman penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, penyedia perkhidmatan berlesen mempunyai tanggungjawab melindungi kanak-kanak di bawah Seksyen 18 Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
MCMC berkata siasatan itu turut memerlukan kerjasama beberapa agensi memandangkan isu berkenaan membabitkan bidang kuasa berbeza.
Antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“MCMC akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan dalam siasatan ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan semula kandungan seksual yang melibatkan atau didakwa melibatkan kanak-kanak.
Tindakan menyebarkan semula kandungan berkenaan bukan sahaja boleh memudaratkan mangsa, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui saluran yang sewajarnya.
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
Pemuda Melayu didakwa terlibat ritual bukan Islam disiasat: Zulkifli
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum