Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Kerajaan menegaskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada menjadi asas utama dalam menangani penyebaran kandungan berbahaya, termasuk yang dihasilkan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), di platform digital.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata cabaran mengawal kandungan dalam talian bukan hanya dihadapi Malaysia, sebaliknya menjadi isu global yang memerlukan kerjasama antara kerajaan dan syarikat teknologi.
“Sejujurnya, selain tindakan reaktif, pilihan untuk langkah proaktif memang tidak banyak. Tetapi yang penting, kita ada perundangan yang jelas dan tindakan mesti diambil dengan segera,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid di Dewan Rakyat.
Nie Ching mengambil contoh aplikasi AI Grok yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa apabila memperkenalkan fungsi tertentu tanpa kawalan keselamatan yang mencukupi.
Menurut beliau, fungsi itu hanya diperkenalkan pada hujung tahun lalu, namun menerima aduan daripada banyak kerajaan.
“Kita lihat tindakan tegas diambil oleh beberapa negara seperti Indonesia dan Filipina yang menyekat aplikasi itu. Negara lain seperti Jepun, Singapura, United Kingdom, Jerman dan Perancis pula menyuarakan ketidakpuasan hati dan hasrat untuk menyiasat,” katanya.
Susulan tekanan tersebut, syarikat XAI kemudiannya mengumumkan penarikan semula fungsi berkenaan dan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dari segi perundangan, beliau menjelaskan Malaysia mempunyai rangka kerja yang kukuh melalui Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).
Di bawah ONSA, sebarang bahan penderaan seksual kanak-kanak dikategorikan sebagai kandungan berbahaya keutamaan dan wajib diturunkan serta-merta oleh platform berlesen.
Kandungan dewasa yang memudaratkan juga tertakluk kepada tindakan segera.
“Seksyen 233 CMA dengan jelas melarang penyebaran kandungan lucah, sumbang atau melampau. Ini adalah kesalahan di Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan mahu semua pembangun aplikasi dan AI mematuhi peraturan asas serta memastikan prinsip “keselamatan melalui reka bentuk” diterapkan sejak awal.
“Undang-undang yang jelas dan tindakan tegas oleh semua kerajaan adalah kunci untuk pastikan ekosistem digital kekal selamat,” katanya.
Harga minyak boleh naik hingga AS$150 setong jika konflik berlarutan
Kapal Malaysia tersekat di Selat Hormuz dikepung tentera AS: Mohamad Hasan
Isu stesen minyak kehabisan bekalan, Loke nafi negara berdepan krisis bahan api
Kawalan ketat SPRM semasa program Azam Baki, elak kekecohan berulang
PMX umum peruntukan RM2 juta untuk Akademi Sepak Takraw
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan