Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah

September 4, 2026 · Isu semasa

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed dan isterinya, Noor Azrina Mohd Azmi untuk mendapatkan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas peguam Jasbeer Singh mengemukakan permohonan berkenaan ketika prosiding pengurusan kes.

“Mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan dan pihak pendakwaan perlu menyenaraikan saksi untuk dipanggil memberi keterangan sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 November ini untuk pengurusan kes seterusnya.

Terdahulu, Jasbeer memohon DNAA terhadap pasangan itu atas alasan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan beberapa dokumen penting berkaitan kes walaupun pertuduhan sudah dikemukakan kira-kira setahun lalu.

Menurutnya, Abu Sahid, 75, dan Noor Azrina, 49, didakwa pada September tahun lalu dan tujuh prosiding sebutan kes sudah dijalankan bagi membolehkan dokumen berkaitan diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Persoalannya sekarang ialah sama ada isu berkaitan bahan bukti sudah diliputi di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah berhubung penyerahan dokumen. Pertuduhan tidak sepatutnya dibuat jika siasatan masih berjalan atau belum lengkap,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif berkata pihak pendakwaan akan menyerahkan lima lagi jilid dokumen berkaitan kes selepas urusan dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan diselesaikan.

Katanya, dokumen itu akan diserahkan sebelum perbicaraan bermula bagi memberi masa mencukupi kepada pihak pembelaan membuat persediaan.

Abu Sahid berdepan lima pertuduhan menyalahgunakan wang milik syarikat berjumlah lebih RM458.5 juta yang diamanahkan kepadanya dalam akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau turut menghadapi 10 pertuduhan memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM116.44 juta daripada akaunnya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Selain itu, Abu Sahid berdepan tiga pertuduhan melupuskan hasil aktiviti haram berjumlah RM22.8 juta melalui pengeluaran tunai menggunakan 15 cek antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.

Noor Azrina pula didakwa menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM67.14 juta melalui akaun banknya daripada akaun milik Abu Sahid antara 6 Mac dan 27 November 2017.

Kes itu mendapat perhatian susulan kaitannya dengan projek Lebuhraya MEX II dan siasatan terhadap aliran wang syarikat yang didakwa berlaku beberapa tahun lalu.

Kesemua pertuduhan masih di peringkat perbicaraan dan pasangan itu belum disabitkan dengan sebarang kesalahan.

Berita berkaitan
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
October 9, 2026· Politik
DNAA: Zahid, AG dapat kebenaran cabar semakan kehakiman Badan Peguam
October 8, 2026· Politik
Aminuddin terkejut 10 Exco saman kerajaan Negeri Sembilan
October 8, 2026· Politik
10 ADUN Negeri Sembilan cabar pembatalan pelantikan Exco di mahkamah
October 7, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
MCMC siasat individu didakwa persenda perkataan dalam al-Quran
3 jam lalu · Isu semasa
Pemuda Melayu didakwa terlibat ritual bukan Islam disiasat: Zulkifli
8 jam lalu · Isu semasa
Penjimatan negara membolehkan hasil dipulangkan kepada rakyat: Anwar
8 jam lalu · Isu semasa
Anwar hargai bantuan Mesir permudah salur bantuan Malaysia ke Gaza
11 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan tubuh Tabung Pos RM150 juta, beroperasi awal 2027: Fahmi
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok