Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Teka-teki mengenai nasib permohonan pengampunan Najib Razak bakal mendapat perhatian apabila Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan disahkan bermesyuarat esok, jam 8.30 pagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan beliau antara individu yang dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan, namun enggan mendedahkan agenda yang akan dibincangkan.
“Ya saya boleh sahkan jam 8.30 pagi esok ada mesyuarat pengampunan.
“Kita sudah dipanggil dan itu sahaja setakat ini yang saya boleh berikan kepada anda semualah,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Fasa Ke-8 Program Mamogram Percuma Etiqa dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), hari ini.
Hannah berkata demikian ketika diminta mengesahkan laporan mengenai mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dijangka berlangsung esok.
Ditanya sama ada mesyuarat itu akan membincangkan permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bermesyuarat esok bagi mempertimbangkan beberapa perkara, termasuk permohonan Najib berkaitan sabitan dalam kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib sebelum ini disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 2024 mengurangkan separuh hukuman penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.
Perkembangan terbaharu itu kembali menghangatkan persoalan mengenai permohonan Najib, khususnya sama ada terdapat pertimbangan baharu terhadap baki hukuman yang masih perlu dijalaninya.
Bagaimanapun, sebarang keputusan berhubung permohonan berkenaan hanya boleh dipastikan selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan berlangsung.
Wanita Malaysia ditahan bawa ganja RM2.2 juta di India: Laporan
Fahmi : Penjual dadah guna istilah pelik, kelirukan pengguna dalam talian
Fahmi: Ekonomi digital ASEAN sasar AS$2 trilion menjelang 2030
Fahmi: Malaysia mahu ASEAN bersatu bendung ancaman dalam talian
Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 25 sen
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum