Kes suapan konsesi Menara KL ribu dipindah ke Mahkamah Tinggi

May 26, 2026 · Isu semasa

Perbicaraan membabitkan syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. dan pengarahnya, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, berhubung dakwaan rasuah berkaitan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur kini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes daripada Mahkamah Sesyen atas alasan ia melibatkan isu undang-undang yang rumit.

Hakim Noor Ruwena berkata mahkamah berpuas hati terdapat “kesukaran luar biasa” sekiranya kes berkenaan diteruskan di Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah mendapati permohonan ini mempunyai merit memandangkan isu undang-undang yang dibangkitkan berpotensi menimbulkan kesukaran sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Sesyen,” katanya ketika menyampaikan keputusan ringkas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk mahkamah menentukan isu bahaya berganda atau ‘double jeopardy’ yang turut dibangkitkan pihak pembelaan.

Kes itu mendapat perhatian kerana berkait dengan dakwaan tawaran suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi membantu mempercepat proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur.

Mengikut pertuduhan, tawaran itu didakwa dibuat untuk faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, melalui seorang individu lain, Tan Ser Lay.

Abdul Hamid didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.

Selain pertuduhan terhadap Abdul Hamid sebagai individu di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009, Hydroshoppe turut didakwa sebagai organisasi komersial di bawah Seksyen 17A(1)(a) akta sama kerana didakwa bersekutu dalam kesalahan berkenaan.

Jika sabit kesalahan, Abdul Hamid boleh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, syarikat berkenaan pula boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, selain hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Peguam Joshua Tay dan Tang Jia Yearn mewakili pihak pemohon, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dr. Irfa Sirrhu Samsudin.

Dalam hujahan sebelum ini, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili pihak pembelaan berkata walaupun Abdul Hamid dan Hydroshoppe adalah dua entiti berasingan, kedua-dua pertuduhan sebenarnya berpunca daripada dakwaan fakta yang sama.

“Walaupun entiti berasingan, kedua-duanya adalah berdasarkan dakwaan yang sama, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai bahaya berganda,” katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah isu tersebut tidak timbul kerana pertuduhan terhadap individu dan syarikat dibuat di bawah peruntukan undang-undang yang berbeza.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Hakim Suzana Hussin turut membatalkan semua tarikh bicara yang sebelum ini ditetapkan sepanjang tahun ini bagi memberi laluan kepada prosiding di Mahkamah Tinggi.

Kes itu dijangka disebut semula dalam tempoh dua minggu bagi penetapan arahan lanjut dan tarikh perbicaraan baharu.

Berita berkaitan
Rosmah gagal penuhi syarat, Global Royalty teruskan tuntutan RM67.5 juta: Laporan
5 jam lalu· Politik
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
October 28, 2026· Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
October 28, 2026· Isu semasa
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
October 28, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
2 jam lalu · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
2 jam lalu · Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
2 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
4 jam lalu · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
5 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok