Kes tikam Banting: Bapa mangsa serah siasatan kepada polis, anak masih trauma

July 7, 2026 · Isu semasa

Bapa kepada pelajar perempuan yang ditikam di sebuah sekolah di Banting meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.

Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata beliau mengambil maklum dakwaan yang tular di media sosial mengenai senarai nama sasaran yang dikatakan ditulis oleh suspek, termasuk nama anaknya yang berusia 15 tahun.

Namun, beliau enggan membuat sebarang kesimpulan awal kerana kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut, biar polis jalankan siasatan. Surat itu pun tidak diyakini, kita tidak dapat pastikan kesahihannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting.

Mohd Firuz turut menolak dakwaan bahawa anaknya terlibat dalam perbuatan membuli suspek yang dipercayai bekas rakan sekelas mangsa.

“Saya ingin tegaskan anak saya bukan pembuli. Dia hanya buat kerja dia sahaja. Kalau keluar rumah pun saya atau ibunya yang hantar, dia tidak pernah keluar sendiri dengan kawan-kawan.

“Kalau mahu kata berlaku buli, saya rasa mungkin tidaklah. Kami pun tidak kenal keluarga suspek dan anak saya tidak pernah bercerita mengenai rakan ini. Anak saya seorang pendiam, kalau ditanya baru dia jawab,” katanya.

Beliau berkata keluarganya bersedia memberi kerjasama kepada polis sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur buli atau konflik lain yang menjadi punca kejadian.

Malah, Mohd Firuz berkata beliau juga terbuka untuk bertemu keluarga suspek bagi mendapatkan penjelasan selepas siasatan selesai.

Dalam kejadian pada Isnin, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga dilaporkan ditikam oleh seorang pelajar perempuan lain di sebuah sekolah di Banting. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Banting untuk menerima rawatan kecemasan.

Menurut Mohd Firuz, anaknya kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih trauma selepas menjalani rawatan selama kira-kira empat jam di Unit Rawatan Rapi bagi mengeluarkan darah dari paru-parunya.

“Sebagai seorang bapa, melihat keadaan anak memang amat menyedihkan. Kami tidak pernah memukulnya, apatah lagi apabila anak ditikam. Tetapi perkara sudah berlaku dan kami reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan makluman petugas perubatan, anaknya dijangka dibenarkan keluar hospital dalam tempoh seminggu, bergantung kepada tahap pemulihan.

Pada masa sama, Mohd Firuz berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pihak, terutama pengurusan sekolah supaya aspek keselamatan pelajar diperkukuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Terdahulu, suspek dalam kes tikam itu direman selama empat hari bermula Selasa hingga 10 Julai bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan
Saksi akui Najib penerima dana 1MDB, mahkamah diberitahu
August 10, 2026· Politik
Ismail Sabri masuk IJN, prosiding pendakwaan ditunda 20 hari
August 7, 2026· Politik
1MDB rugi AS$5.6 bilion dan Najib didakwa dalang utama penyelewengan, mahkamah diberitahu
August 3, 2026· Isu semasa
Rosmah gagal gugurkan hakim kes solar, mahkamah tolak permohonan
July 29, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Ulama tampil bincang RCI Tabung Haji, gesa amanah pendeposit dibela
9 jam lalu · Isu semasa
1,098 Pusat NADI sasar pecah rekod MBOR dalam program Senam Sihat MADANI
14 jam lalu · Isu semasa
AUKU mansuh, Anwar mahu mahasiswa bebas bersuara
15 jam lalu · Isu semasa
Doktor terpedaya pelaburan online, rugi RM558,000
17 jam lalu · Isu semasa
Anak nafi dakwaan tular Abdul Azeez ditahan SPRM
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
8 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok