Kes rasuah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan jumlah siasatan rasuah tertinggi dalam kalangan kementerian persekutuan sejak tiga tahun lalu, dengan 14 kes disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 87 siasatan berkaitan rasuah dijalankan melibatkan pelbagai kementerian dari tahun 2022 hingga 26 September lalu.
“KPDN mencatatkan jumlah siasatan tertinggi dengan 14 kes, diikuti Kementerian Dalam Negeri (11 kes), manakala Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan masing-masing lapan kes,” katanya.
Azalina turut memaklumkan, beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan (lapan kes), Kementerian Pertahanan (enam) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (lima) turut disiasat.
Namun, beberapa kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Digital, serta Kementerian Luar Negeri tidak merekodkan sebarang kes rasuah dalam tempoh sama.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah kes rasuah melibatkan penjawat awam mengikut kementerian atau agensi.
Dalam jawapan berasingan kepada Tan Kok Wai (PH-Cheras), Azalina turut memaklumkan sebanyak 5,474 aduan diterima daripada unit integriti di pelbagai kementerian dan agensi antara Januari hingga April tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 930 tindakan tatatertib telah diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.
Azalina menambah, 948 aktiviti pemantauan pematuhan undang-undang serta 2,586 program kesedaran dan latihan telah dijalankan bagi memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam.
Setakat 31 Ogos lalu, sebanyak 479 unit integriti telah ditubuhkan di pelbagai peringkat kerajaan termasuk 28 di kementerian dan 105 di agensi persekutuan.
“Penubuhan unit ini penting untuk memastikan tiada ruang bagi mana-mana pegawai menyalahgunakan kuasa atau melakukan penyelewengan,” jelasnya.
99.5 peratus sekolah seluruh negara sudah diliputi rangkaian 4G
Kerajaan teliti had umur penggunaan platform permainan dalam talian
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib