Stesen minyak.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan tiada sebarang kes penipuan isi padu minyak petrol RON95 yang dikesan selepas menjalankan pemeriksaan menyeluruh di seluruh negara baru-baru ini.
Operasi ini dijalankan bagi menangani kebimbangan orang ramai yang timbul berhubung isi padu minyak yang diisi selepas pelaksanaan Program BUDI Madani RON95.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan mengejut ke atas 2,282 pam minyak RON95 di 584 stesen minyak pelbagai jenama dari 3 hingga 9 November lalu.
“Sepanjang operasi dijalankan, tiada kesalahan yang melibatkan kuantiti (isipadu) minyak RON95 di bawah ralat maksimum yang dibenarkan dikesan,” kata Azman dalam satu kenyataan.
“Pemeriksaan ini bertujuan memastikan semua pam dispenser berfungsi dengan tepat dalam ralat yang dibenarkan serta mengesan sebarang unsur manipulasi,” tambahnya lagi.
Menurutnya, keputusan positif ini membuktikan semua pengusaha stesen minyak mematuhi piawaian pengukuran yang ditetapkan.
KPDN juga komited untuk memastikan ketepatan sukatan petrol RON95 sentiasa terpelihara bagi melindungi kepentingan pengguna.
“KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan berkala dari semasa ke semasa. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan manipulasi mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972,” jelasnya.
Kesalahan tersebut boleh membawa hukuman denda maksimum RM4,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau menegaskan, perlindungan pengguna dan keadilan dalam urus niaga sentiasa menjadi keutamaan kementeriannya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat boleh menghubungi KPDN melalui WhatsApp di 019-8488000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, atau talian berpusat 1-800-886-800.
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum