Laporan RCI Tabung Haji: Amaran BNM sejak 2014 tidak diendahkan, tanggung rugi RM10 bilion

July 29, 2026 · Isu semasa

Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian sebanyak RM10 bilion akibat kegagalan mematuhi peraturan serta kesilapan dalam keputusan pelaburan yang berlaku sejak 2014, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri menerusi taklimat yang disampaikan Pengerusi TH, Rashid Hussain, yang sebelum ini turut menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi berkenaan.

“Tadi Pengerusi TH yang pernah jadi ahli Suruhanjaya Diraja memberi taklimat kepada Jemaah Menteri bahawa TH rugi RM10 bilion sebab tidak ikut peraturan, sebab pelaburan salah, sebab banyak masalah. Berlaku sejak 2014,” katanya selepas menghadiri Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, hari ini.

Anwar berkata, kegagalan mengendahkan amaran awal yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) antara 2014 hingga 2017 menjadi antara faktor utama yang menyebabkan institusi itu mengalami kerugian besar.

Menurutnya, keputusan Jemaah Menteri mendedahkan laporan RCI mengenai TH dibuat atas prinsip ketelusan supaya siasatan dapat dilakukan secara menyeluruh, selain menjadi pengajaran agar amanah yang melibatkan wang pendeposit tidak lagi dikhianati.

“Amaran awal telah diberikan antara 2014 hingga 2017, tetapi tidak diendahkan dan tidak didedahkan sehingga menyebabkan kerugian besar.

“Yang penting, keputusan Jemaah Menteri ialah supaya siasatan dilakukan secara telus hingga ke akar umbi, bukan hanya melibatkan tempoh 2014 hingga 2017, tetapi juga selepas itu untuk melihat apa yang berlaku pada 2018 hingga 2020 serta langkah pemulihan yang telah dilaksanakan.

“Biarlah rakyat menilai. Bagi saya, ini bukan untuk membongkar kisah lama, sebaliknya menjadi pengajaran supaya amanah rakyat tidak lagi dikhianati dan kesilapan sama tidak berulang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata cadangan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan laporan RCI itu kini menunggu persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Saya telah mencadangkan supaya ia diadakan secepat mungkin supaya Ahli Parlimen mempunyai masa meneliti laporan itu, mendengar penjelasan lanjut dan membahaskannya secara terbuka sepanjang hari,” katanya.

Terdahulu, Kabinet meluluskan penerbitan laporan RCI berhubung TH yang menyiasat isu tadbir urus, pematuhan peraturan dan keputusan pelaburan institusi itu. Laporan tersebut diterbitkan hari ini selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Laporan RCI mendedahkan beberapa kelemahan dalam pengurusan TH sepanjang tempoh berkenaan dan mengemukakan pelbagai syor pembaharuan bagi mengukuhkan tadbir urus serta memastikan simpanan jutaan pendeposit terus diurus secara telus dan berhemah.

Berita berkaitan
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
7 jam lalu· Isu semasa
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
9 jam lalu· Isu semasa
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026· Isu semasa
Anwar: Semua kawasan Parlimen dapat peruntukan pembangunan
October 27, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
5 jam lalu · Isu semasa
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
6 jam lalu · Isu semasa
Tiada bukti syarikat Malaysia cetus kebakaran hutan Indonesia: Arthur
6 jam lalu · Isu semasa
Kes saman RM1.9 juta: Najib dibenar hadir prosiding lawan Tommy Thomas
6 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: RUU tahanan di rumah hampir siap diteliti KDN, AGC
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok