Mahfuz Omar.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar mempersoalkan pendirian Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang menyatakan kesediaan melepaskan jawatan dalam Kabinet hanya jika diarahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sambil menyifatkan tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai prinsip politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut Mahfuz, isu sebenar bukan sama ada Perdana Menteri akan mengarahkan Mohamad melepaskan jawatan, sebaliknya mengapa beliau perlu menunggu arahan sedangkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan didakwa sudah tidak lagi dihormati.
“Persoalannya bukan sama ada Perdana Menteri akan mengarahkan atau tidak. Persoalannya ialah, mengapa perlu menunggu arahan jika prinsip sendiri mengatakan kerjasama itu sudah tidak lagi dihormati?
“Dalam budaya kita, kalau sudah memilih rumah sebelah, jangan lagi mahu memegang kunci rumah yang ditinggalkan.
“Begitu juga dalam politik. Tidak wajar pada siang hari menikmati tanggungjawab dan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi pada malam hari bekerjasama dengan pihak yang berkempen untuk melemahkan kerajaan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan dibentuk atas asas persefahaman, kepercayaan dan tanggungjawab bersama, namun mendakwa Barisan Nasional (BN) memilih bekerjasama dengan pihak yang menjadi lawan kepada kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Mahfuz turut mengingatkan agar Perdana Menteri tidak dijadikan pihak yang perlu menanggung implikasi keputusan politik UMNO dan BN.
“Jangan jadikan perdana menteri sebagai ‘penyapu’ untuk membersihkan kekotoran politik UMNO-BN yang dibuat sendiri.
“Ini bukan soal marah atau dendam. Ini soal integriti politik.
“Kalau benar yakin tindakan mereka betul, maka buktikan dengan keberanian membuat keputusan sendiri. Jangan meletakkan seluruh beban moral di bahu perdana menteri,” katanya.
Pada 19 Julai lalu, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata beliau bersedia melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh Perdana Menteri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada pemimpin BN yang memburukkan Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan setakat ini.
“Terpulang kepada Perdana Menteri (nak arah lepaskan jawatan Kabinet) kerana beliau yang melantik menteri dan timbalan menteri,” katanya.
Mohamad mengulas amaran Anwar kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan masing-masing untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan.
Anwar sebelum ini menegaskan mana-mana pihak yang melanggar peringatan itu akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
Isu kaum dan agama hanya retorik kempen selepas kehabisan modal: Tze Tzin
22,339 anggota keselamatan mengundi awal esok
PAS salahkan laporan Malaysiakini cetus polemik kenyataan Sanusi
Pelaburan negeri hasil usaha PH sebelum Kerajaan Perpaduan: Aminuddin
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
[VIDEO] Khalid Samad lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih