Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik tindakan sebahagian wakil pembangkang keluar Dewan ketika perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) berlangsung di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menyifatkan tindakan itu tidak wajar kerana kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bukan alasan untuk Ahli Parlimen mengabaikan tanggungjawab melaksanakan fungsi semak dan imbang.
Menurut Syed Saddiq, Parlimen bukan pentas untuk seorang pemimpin sahaja, sebaliknya tempat semua wakil rakyat menjalankan amanah kepada rakyat, termasuk meneliti laporan RCI dan membangkitkan sebarang isu berkaitan pengurusan TH.
“Parlimen bukanlah one-man show. Yang sakit Perdana Menteri. Tetapi yang tidak buat kerja kita pula.
“Yang dibayar puluhan ribu ringgit, gaji, pencen dan pada masa sama pelbagai elaun, hanya untuk memainkan peranan semak dan imbang. Tetapi kita gagal untuk memainkan peranan tersebut,” katanya ketika membahaskan laporan RCI itu pada Persidangan Khas Dewan Rakyat.
Syed Saddiq berkata, laporan RCI berkenaan bukan milik mana-mana Perdana Menteri atau parti politik, sebaliknya menyentuh kepentingan lebih 10 juta pendeposit TH.
Katanya, Ahli Parlimen perlu menggunakan ruang perbahasan untuk meneliti fakta, mengemukakan bukti dan mendedahkan sebarang kelemahan atau salah laku jika ditemui.
“Kalau ada fakta, bahas. Kalau ada salah, bongkarkan. Sangat malang sekali kita di pihak pembangkang yang paling lantang membawa nama Melayu Islam memilih untuk memboikot perbahasan mengenai institusi terpenting bagi golongan Melayu Islam.
“Kita bukan memboikot menteri, kita sedang memboikot amanah kita kepada jutaan pendeposit Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata, atas alasan itu beliau memilih untuk kekal di Dewan dan mengambil bahagian dalam perbahasan dengan menggunakan fakta serta data.
Tindakan sebahagian wakil pembangkang keluar Dewan berlaku ketika perbahasan khas mengenai laporan RCI TH yang dibentangkan untuk penelitian Ahli Parlimen.
TH menjadi perhatian selepas pelbagai isu berkaitan pengurusan, pelaburan dan tadbir urus institusi itu dibangkitkan, sekali gus mendorong penubuhan RCI bagi meneliti perkara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen daripada Parti Bersatu turut kekal mengikuti persidangan dan tidak menyertai tindakan keluar Dewan oleh sebahagian wakil Perikatan Nasional (PN).
CEO TH dalam lembaga 1MDB ketika beli tanah TRX, Parlimen diberitahu kerugian RM145.3 juta
Keluar Dewan: Pembangkang PN tak peduli amanah pendeposit Tabung Haji?
Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung kenyataan fitnah
Bendera tanpa bulan bintang, Akmal mahu penjelasan MBKT
Bersatu kena cari jalan kuasai semula PN: Puad
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan