Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Kredit gambar: PMO
Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mendamaikan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Perdana Menteri berkata kepercayaan yang diberikan kedua-dua negara kepada Malaysia membuktikan kedudukan negara ini sebagai mediator yang dihormati.
“Alhamdulillah, politik kita stabil, ekonomi kita dihormati. Ketika berlaku konflik, mereka mempercayai Malaysia sebagai penengah. Dunia mengiktiraf peranan ini, walaupun ada segelintir di Parlimen yang enggan mengakuinya,” jelas Anwar.
Pengiktirafan ini diperkukuh lagi dengan kenyataan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, yang memuji kepimpinan Malaysia dalam memudahkan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara Thailand dan Kemboja.
Anwar turut menekankan bagaimana hubungan diplomatik yang erat ini memberi manfaat ekonomi kepada Malaysia.
“Ketika berlaku ketegangan, susu Thailand tidak dapat masuk ke Kemboja, tetapi susu Farm Fresh kita berjaya menembusi pasaran tersebut. Ini semua berkat hubungan baik kita dengan kedua-dua negara,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menawarkan sokongan kerajaan sekiranya Farm Fresh ingin mengembangkan operasi ke Thailand.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ketahanan makanan negara, khususnya dalam industri tenusu tempatan.
Beliau memuji pencapaian Farm Fresh yang bukan sahaja berjaya dalam pengeluaran susu tempatan, malah menyumbang kepada masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat.
Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal, dalam ucapannya mendedahkan kompleks tenusu seluas 828 ekar itu kini menempatkan 4,300 lembu tenusu dengan pengeluaran harian 22,000 liter susu.
“Ladang ini merupakan yang terbesar dan paling produktif di Malaysia, dengan 150 pekerja tempatan yang majoritinya golongan muda bawah 30 tahun,” jelas Azmi.
Farm Fresh turut melaksanakan inisiatif membeli susu daripada penternak kecil tempatan dan menyediakan biasiswa untuk 500 pelajar STPM serta program tuisyen matematik untuk pelajar sekolah rendah mulai tahun ini.
Anwar menegaskan bahawa kejayaan seperti ini menunjukkan potensi besar industri makanan tempatan dalam menyumbang kepada ekonomi negara sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Seorang guru didakwa amang seksual dua murid, miliki bahan lucah
Azam Baki fail saman fitnah terhadap Albert Tei
MCMC arah tindakan segera baiki liputan telekomunikasi di Kampung Tinagat
MCMC perketat pemantauan judi dalam talian menjelang Piala Dunia
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi