Lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Ethiopia.
Malaysia bersedia membuka akses eksport untuk produk ayam, sarang burung, dan makanan ternakan ke Ethiopia, sekali gus merangka bab baharu dalam hubungan ekonomi dua hala.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Ethiopia Dr. Abiy Ahmed Ali membuat tawaran untuk berkongsi kepakaran Malaysia dalam penanaman sawit serta benih berkualiti.
Anwar juga menekankan keperluan untuk menyemak kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia yang semakin meningkat permintaannya di pasaran Ethiopia.
“Saya turut menyarankan semakan kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia yang semakin mendapat tempat di pasaran Ethiopia,” kata Anwar dalam kenyataan.
Anwar juga memaklumkan kedua-dua negara telah sepakat untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sokongan Malaysia terhadap agenda reformasi ekonomi Ethiopia akan diteruskan melalui Malaysian Technical Cooperation Program (MTCP).
“Kami memperteguh tekad untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan potensi besar dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), industri semikonduktor, produk halal, dan keselamatan siber.
Peluang ini diperkukuh lagi dengan rangkaian memorandum persefahaman (MoU) antara dewan perniagaan kedua-dua negara.
“Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan,” ujarnya.
Anwar turut menyampaikan penghargaan atas sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan negara itu sebagai tuan rumah COP32 pada 2027.
Pertemuan dua hala itu digambarkan sebagai ‘sarat dan penuh bermakna’, menandakan komitmen kedua-dua negara untuk memanfaatkan peluang bersama.
Lawatan kerja Anwar ke Ethiopia adalah yang pertama dalam rangkaian lawatannya ke benua Afrika.
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib